Kutipan zakat PPZ diserah sepenuhnya kepada Baitulmal MAIWP - Syed Ali

Astro Awani
Mei 2, 2021 18:58 MYT
Syed Ali berkata, wang zakat tersebut adalah amanah pembayar zakat untuk bantuan kepada asnaf. - PPZ-MAIWP
KUALA LUMPUR: Wang kutipan zakat yang dilakukan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan diserah sepenuhnya kepada Baitulmal MAIWP.
Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, wang zakat tersebut adalah amanah pembayar zakat untuk bantuan kepada asnaf dan Baitumal perlu bertanggungjawab bagi memastikan kepercayaan pembayar zakat terhadap amanah berkenaan.
"Di sinilah (Baitulmal) segala bentuk bantuan kepada golongan asnaf akan diagih-agihkan mengikut jenis bantuan yang diperlukan, seperti bantuan bulanan yang setakat ini mencecah 26,239 penerima zakat Baitulmal (golongan asnaf).
"Baitulmal MAIWP juga turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan seperti untuk persekolahan, perumahan, kesihatan dan perniagaan.
"Perlu saya jelaskan bahawa sebarang bentuk bantuan yang disalurkan oleh PPZ menerusi Baitumal MAIWP adalah berdasarkan kelayakan pemohon setelah melalui beberapa prosedur biasa," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Ahad.
BACA: MAIWP sumbang bantuan bulanan kepada 21,556 keluarga fakir, miskin di KL
BACA: Bayaran zakat tidak pernah membebankan - Syed Ali
Jelasnya, seperti ada sedikit salah faham dan kekeliruan berhubung bantuan zakat yang dilaksanakan oleh pusat pungutan zakat (PPZ) di beberapa negeri sejak akhir-akhir ini terutamanya sepanjang Ramadan.
Tegasnya, ada tohmahan dan tanggapan yang tidak tepat seolah-olah sengaja dilemparkan oleh sesetengah pihak secara melulu tanpa fakta yang sahih yang secara tidak langsung boleh mencemarkan institusi pusat pungutan zakat di negara ini.
"Dalam hal ini, saya selaku Pengerusi PPZ-MAIWP, terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara yang menjadi asas kekeliruan kepada sesetengah pihak yang tidak memahami fungsi berzakat.
"Saya ingin mengambil dalam konteks peranan PPZ-MAIWP dalam menyantuni pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh pemaustautin atau golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Perlu dinyatakan bahawa peranan PPZ di Wilayah Persekutuan tidak sama sepertimana di negeri-negeri lain. PPZ-MAIWP pada dasarnya diberi tanggungjawab dan amanah untuk mengutip wang bayaran zakat daripada pelbagai pihak seperti syarikat korporat, badan perniagaan, agensi kerajaan dan individu berkelayakan yang berpengkalan atau menetap di Kuala Lumpur," ujarnya.
Dalam pada itu jelas Syed Ali, bantuan yang disalurkan PPZ menerusi Baitulmal tidak menyukarkan pemohon dan juga tiada langsung kaitan dengan politik.
Malah katanya, warga Kuala Lumpur amat menghargai sumbangan yang dilakukan MAIWP selama ini.
"Walaupun kemungkinan ada pemohon yang gagal dalam permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan Baitulmal MAIWP, saya anggap ia kes terpencil dan masih boleh diselesaikan dengan cara bersemuka dan tidak sewajarnya dihebahkan menerusi laman-laman sosial.
"Saya juga berharap badan-badan bukan kerajaan (NGO) perlu lebih bertanggungjawab dan melakukan siasatan yang lebih telus serta berfakta bagi mengelak apa yang dilaporkan itu tidak menimbulkan salah faham.
"Saya juga ingin menjelaskan bahawa PPZ-MAIWP hanya bertanggungjawab terhadap sistem dan kaedah pungutan zakat di Wilayah Persekutuan," tegasnya.
Beliau turut memberitahu, zakat dan sedekah adalah dua perkara berbeza pada pandangan hukum syarak.
"Sejak kebelakangan ini ramai yang keliru sehingga mendorong mereka mempertikai dan mengecam PPZ.
"PPZ-MAIWP sentiasa bersikap terbuka malah berusaha memberi penjelasan berhubung tatacara dan kaedah pembayaran zakat demi meningkatkan kualti hidup umat Islam melalui zakat sepertimana diperintahkan Allah SWT," ujarnya.
#NGO #Ramadan #Amanah #zakat #PPZ-MAIWP #Baitulmal
;