Kutipan tabung gempa bumi Turkiye, Syria cecah RM11 juta, dilanjutkan sehingga 31 Mac - Wisma Putra
Bernama
Februari 24, 2023 15:52 MYT
Februari 24, 2023 15:52 MYT
PUTRAJAYA: Sumbangan yang diterima Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria kini mencecah hampir RM11 juta sejak dilancarkan pada 10 Feb lepas.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ia merupakan kutipan tertinggi pernah dicatatkan untuk tabung berkenaan.
"Memandangkan sumbangan yang diterima amat menggalakkan, Kementerian Luar telah mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh kutipan TBKLN sehingga 31 Mac 2023," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Wisma Putra sekali lagi mengalu-alukan orang ramai, kumpulan korporat dan perniagaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus menyalurkan sumbangan melalui akaun TBKLN (Affin Islamic Bank Bhd - 1054 9000 0599).
Sumbangan yang dibuat layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, penderma diminta mengemukakan butiran sumbangan melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen.
Sebarang pertanyaan lanjut, boleh dikemukakan kepada Sekretariat TBKLN melalui emel tbkln@kln.gov.my.
Menurut angka rasmi terkini, lebih 46,000 orang terbunuh di Turkiye dan Syria akibat bencana yang melanda pada 6 Feb lepas.
-- BERNAMA