Kutipan sampah pukal pascabanjir dijangka selesai dua minggu lagi - MBSA
Bernama
Disember 24, 2021 19:45 MYT
Disember 24, 2021 19:45 MYT
SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan proses pembersihan sampah pukal di kawasan pascabanjir yang sedang dilaksanakan secara maksimum ketika ini, akan selesai dalam tempoh dua minggu.
Datuk Bandar MBSA Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata MBSA kini giat melaksanakan operasi pembersihan di seluruh kawasan Shah Alam khususnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini yang terjejas teruk susulan banjir sejak 18 Dis lepas.
Namun katanya, lorong dan jalan kecil serta jumlah kenderaan banyak diletakkan di tepi jalan di kawasan Padang Jawa dan Taman Sri Muda antara sebab yang menyukarkan proses pembersihan dan juga pergerakan lori sampah masuk ke kawasan tersebut.
"Justeru, kita minta penduduk untuk bersabar kerana MBSA kini 'full force' dalam operasi pembersihan sampah pukal pascabanjir ini," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma MBSA hari ini.
Zamani Ahmad berkata setakat ini, sebanyak 824 tan metrik sampah telah dikutip di sekitar Shah Alam dan menjangkakan jumlah tersebut akan terus meningkat, dan MBSA telah membuka satu kawasan transit sampah di Seksyen 21 susulan banjir yang melanda.
"Sebelum ini, sampah yang dikutip akan dihantar ke tempat pelupusan di Jeram Sanitary Landfill, Kuala Selangor yang mengambil masa kira-kira tiga jam bagi satu perjalanan tidak termasuk masa menunggu, jadi ekoran banjir dan sampah yang banyak, ia dikumpulkan dahulu di pusat transit berkenaan," katanya.
Mengulas berhubung status kereta tersadai di sekitar Shah Alam, Zamani Ahmad berkata pihaknya akan mengalihkan kereta ke bahu jalan untuk memastikan kelancaran trafik dan memudahkan kerja-kerja pembersihan serta pergerakan jentera sampah.
-- BERNAMA
#MBSA
#Kutipan Sampah
#pascabanjir
#banjir
#Majlis Bandaraya Shah Alam
#Zamani Ahmad Mansor
#taman sri muda