Kutipan khairat tanpa kebenaran MAIS akan diambil tindakan oleh JAIS

Bernama
Mac 9, 2016 15:20 MYT
AHMAD ZAKI: Mulai 1 Mei pihak penguatkuasaan akan merampas tabung berkenaan dan wang kutipan itu akan diserahkan kepada Baitul Mal. - Gambar fail
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang mengambil tindakan terhadap kutipan khairat tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sejak Febuari lepas dan penguatkuasaan akan diambil mulai Mei ini.
Timbalan Pengarah JAIS, Ahmad Zaki Arsad berkata operasi yang bermula 1 Feb lepas dilaksanakan mengikut tiga fasa iaitu Pemakluman, Pemutihan dan Penguatkuasaan.
"Operasi Pemakluman, Pemutihan dan Penguatkuasaan (Op 3P) kini memasuki fasa kedua bulan ini iaitu fasa pemutihan selama dua bulan untuk mereka yang diambil tindakan mengemukakan permohonan memungut dana tersebut daripada MAIS dan proses kelulusan serta pemberitahuan keputusan permohonan," katanya satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah melaksanakan fasa pemakluman sepanjang bulan lepas kepada mereka yang telah mengutip khairat tanpa kebenaran serta memberi peringatan mengenai kesalahan mengikut undang-undang dan mengedar borang permohonan kebenaran MAIS.
Pihaknya juga turut mengedar keratan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 berhubung kesalahan menghina atau menyebabkan Islam dipandang hina dan keratan Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 Pindaan 2015 berhubung pungutan khairat, katanya.
Ahmad Zaki berkata pemakluman itu dibuat melalui surat yang diberikan kepada masjid, surau, pengusaha restoran, sekolah tahfiz dan rumah kebajikan Islam di seluruh Selangor, selain turut menampal notis tersebut di premis berkenaan untuk tujuan pemberitahuan kepada orang awam.
Beliau berkata mulai 1 Mei pihak penguatkuasaan akan merampas tabung berkenaan dan wang kutipan itu akan diserahkan kepada Baitul Mal.
Selain melaksanakan siasatan lanjut di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 Pindaan 2015 dan mengambil tindakan pendakwaan.
#Ahmad Zaki Arsad #JAIS #khairat #MAIS