Kutipan hasil Selangor tahun ini melebihi sasaran - Amirudin
Bernama
Oktober 26, 2024 23:55 MYT
Oktober 26, 2024 23:55 MYT
KLANG: Kerajaan Negeri Selangor mencatatkan kutipan hasil berjumlah RM2.218 bilion setakat bulan ini, melebihi sasaran awal ditetapkan pada RM2.2 bilion, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata prestasi cemerlang itu ialah hasil daripada persekitaran ekonomi pelaburan yang menunjukkan perkembangan positif melibatkan pembukaan beberapa kawasan baharu dan pembangunan yang memasuki Selangor.
"Ini tahun keempat kita capai lebih daripada sasaran, tahun lepas kutipan kita RM2.7 bilion, tahun sebelum itu RM2.5 bilion dan sebelumnya RM2.3 bilion.
"Dalam pertimbangan kita, mungkin untuk tempoh dua bulan ini kita boleh capai lebih lagi dan kita sedang tunggu sebab sebahagiannya melibatkan isu tanah, kadang-kadang mereka bayar premium ataupun ada yang bayar tahun hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata beliau juga optimis untuk Selangor mencapai sasaran kemasukan nilai pelaburan berjumlah RM55 bilion menjelang akhir tahun ini berikutan jumlah semasa pelaburan terkumpul setakat ini yang berada pada RM35 bilion.
"Apa yang saya nak nyatakan konsistensi, tiap-tiap tahun kita berada dalam tiga teratas (sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar), ini menunjukkan ekosistem pelaburan dalam negeri ini adalah antara yang terbaik di Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri menerusi Program Pemberian Bantuan Baucar Jom Shopping Perayaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.4 juta dengan sebanyak 22,000 baucar diagihkan kepada individu komuniti India dalam kategori B40 dalam meringankan beban mereka bagi menyambut perayaan Deepavali tahun ini.
-- BERNAMA