Kutipan hasil Selangor disasar cecah RM2 bilion tahun ini - MB

Bernama
Januari 12, 2023 17:24 MYT
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (Anis) di Seksyen 7, hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyasarkan kutipan hasil negeri itu bagi tahun ini mencecah kira-kira RM2 bilion, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, angka tersebut adalah berdasarkan rekod pencapaian kutipan hasil negeri berkenaan pada tahun-tahun sebelum ini.
"Setakat minggu pertama bulan ini, kerajaan negeri telah berjaya mencatat kutipan hasil sebanyak RM60 juta. Saya akan buat semakan (sebarang perkembangan hasil kutipan negeri) pada April atau Mei nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kemudahan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) Seksyen 7 di sini, hari ini.
Acara itu turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud dan Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid.
Laporan media sebelum ini menyatakan Selangor meraih kutipan hasil sebanyak RM2.5 bilion pada tahun lepas yang mengatasi sasaran awal sebanyak RM2.05 bilion.
Malah, kutipan tersebut merupakan pencapaian terbaik Selangor dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Terdahulu pada majlis itu, Amirudin berkata Pusat Prasekolah ANIS adalah fasiliti bagi menempatkan anak istimewa kelahiran Selangor bagi kategori kurang upaya pembelajaran seperti tahap perkembangan lewat global (GDD), sindrom down, gangguan hiperaktif defisiti perhatian (ADHD) serta autisme yang berusia 5-6 tahun.
Beliau berkata, pusat yang tidak mengenakan sebarang bayaran ini akan turut dijadikan sebagai penanda aras untuk kalangan pengusaha-pengusaha tadika khususnya di Selangor dalam menyediakan fasiliti pendidikan bagi murid berkeperluan khas selain dapat membantu ibu bapa menyertai rangkaian kumpulan sokongan anak istimewa di negeri itu.
-- BERNAMA
#Selangor #kutipan hasil #Amirudin Shari #Menteri Besar
;