Kutipan hasil Selangor dijangka meningkat RM100 juta mulai tahun depan - MB
Bernama
November 14, 2023 13:24 MYT
November 14, 2023 13:24 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menjangkakan kutipan hasil negeri tersebut meningkat sekitar RM100 juta selepas memperkenalkan tiga langkah baharu bagi meningkatkan hasil negeri mulai tahun hadapan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu melibatkan perkongsian dividen anak syarikat sekitar RM40 juta, semakan fi pejabat bawah kaedah tanah negeri sebanyak RM50 juta dan peningkatan caruman parit dianggarkan kira-kira RM10 juta.
"Maknanya daripada tiga langkah pertama ini kita menjangkakan menambah RM100 juta daripada kutipan yang gagal dikutip sebelum ini," katanya menjawab soalan tambahan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) mengenai anggaran nilai peningkatan hasil berdasarkan strategi-strategi baharu negeri tersebut.
Terdahulu, Amirudin berkata hasil kerajaan negeri bergantung sepenuhnya kepada sumber hasil tanah seperti cukai tanah, premium, permit tanah dan galian serta bayaran perkhidmatan berkaitan tanah.
Ia menyumbang sebanyak 80 peratus daripada hasil keseluruhan negeri, dengan hasil cukai tanah menyumbang 24 peratus daripadanya, katanya.
Menjawab soalan tambahan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang masih bergantung kepada hasil tanah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berkata pihaknya giat meneroka projek tenaga hijau bagi menambah lagi nilai hasil negeri termasuk pelaksanaan beberapa projek kendalian Worldwide Holdings Bhd (Worldwide) bernilai hampir RM10 bilion.
"Pada ketika ini, Worldwide mempunyai sembilan ke 10 projek yang sebahagiannya adalah projek ekonomi atau tenaga hijau dan ia termasuk pembinaan loji jana kuasa di Pulau Indah, Klang selain penerokaan sektor solar dan juga mini hidro serta penghasilan hidrogen," katanya.
Beliau berkata penerokaan negeri Selangor dalam sektor tenaga hijau itu juga mendapat perhatian pelabur dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sedia melabur sekitar RM10 juta dalam projek loji jana kuasa 10 gigawatt.
-- BERNAMA