Kutipan GST dikembalikan semula kepada rakyat untuk kurangkan beban - PM Najib
Astro Awani
Disember 17, 2016 18:11 MYT
Disember 17, 2016 18:11 MYT
Kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilihat sebagai mekanisma terbaik kerajaan dalam membantu rakyat termasuk memberi penekanan meningkatkan taraf hidup dan keselesaan bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Ini kerana, hasil kutipan itu dikembalikan kerajaan kepada rakyat dalam bentuk program bantuan antaranya seperti Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, Rumah Mesra Rakyat, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan dan nelayan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan, rakyat seharusnya faham dan menolak segala tohmahan pihak tertentu yang menyatakan GST ini membebankan sedangkan ia telah banyak membantu golongan sasar memperoleh kehidupan yang lebih baik.
“Di sini kerajaan dimomok, dikutuk, tetapi kalau tidak ada GST masakan kita boleh buat program untuk membantu golongan B40. Daripada mana kita nak dapatkan hasil, kalau hasil harga minyak merudum kalau harga yang lain telah berkurangan, daripada mana kerajaan nak dapat hasil, nak tolong golongan B40?
“Jawabnya kita mesti ada sistem kutipan hasil, bila kita ada kutipan hasil, kira pulangkan balik kepada rakyat dan kira utamakan golongan B40, itu maknanya kerajaan yang amalkan dasar yang adil dan saksama,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci rumah dan kios perniagaan di bawah Program Pembasmian Miskin Bandar (PPKB) Pekan di Kampung Pulau Jawa, di sini hari ini.
Selain itu katanya, dasar dan tindakan kerajaan yang dilaksanakan sekarang ini adalah demi kebajikan rakyat keseluruhan dengan mengambil contoh di negara ini, kerajaan telah mengumumkan 4,000 jenis barangan yang dikecualikan daripada GST.
Baru-baru ini, dalam perbualan beliau bersama perdana menteri India, Narendra Modi, Modi berkata negara itu telah melaksanakan GST dengan kadar tertinggi iaitu 23 peratus dengan tiada barang dikecualikan sedangkan Malaysia hanya enam peratus.
Meskipun hanya enam peratus, namun kerajaan berupaya membantu dasar kewangan dan fiskal negara bagi menyediakan dana mencukupi membangunkan negara dalam semua aspek seperti mana yang dinikmati sekarang.
Di majlis itu, seramai 21 orang menerima kunci rumah yang dibina dengan kos RM40,000 seunit dan 10 orang penerima kiosk penjaja yang dilengkapi sistem solar yang berharga RM15,000 ribu seunit beserta peralatan.