Kutipan dan bekalan menurun, HSI pohon orang ramai derma darah
Bernama
Disember 10, 2023 12:42 MYT
Disember 10, 2023 12:42 MYT
JOHOR BAHRU: Status terkini kutipan dan pembekalan darah bagi kesemua kumpulan darah di Unit Perubatan Transfusi, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semakin menurun.
Menerusi hantaran dalam Facebook HSIJB Blood Donation Drive Schedule itu, kumpulan darah jenis O adalah yang paling kurang setakat ini.
Justeru, orang ramai dipohon untuk tampil menderma darah bagi kesinambungan menyelamatkan pesakit yang memerlukan.
"Mohon juga para penderma yang hadir agar menepati kriteria pendermaan darah dan membawa sama buku pendermaan serta dokumen pengenalan diri," menurut hantaran itu hari ini.
Orang ramai boleh melayari Instagram Blood Bank HSIJB, Facebook HSIJB Blood Donation Drive Schedule atau TikTok Blood Seekers HSIJB bagi mendapatkan jadual terkini aktiviti kutipan darah.
-- BERNAMA