Kutipan cukai pelancongan RM308 juta bagi tempoh 2018 hingga 2022

Bernama
Julai 24, 2024 12:47 MYT
Tiong menjelaskan, hasil kutipan cukai pelancongan diagihkan kepada Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri dan hanya boleh dibelanjakan bagi skop berkaitan pembangunan sektor pelancongan, seni dan budaya. - Foto: Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM308 juta berjaya dikutip bagi cukai pelancongan membabitkan tempoh 2018 hingga 2022, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata kutipan menerusi kementerian itu merangkumi RM135.49 juta pada 2018 dengan RM67.74 juta diagihkan kepada Kerajaan Negeri manakala RM134.94 juta bagi 2019 yang membabitkan agihan sebanyak RM67.47 juta.
Bagi separuh pertama 2020, kutipan itu berjumlah RM37.90 juta dengan agihan sebanyak RM18.95 juta kepada Kerajaan Negeri, katanya.
"Bagaimanapun, kutipan cukai pelancongan itu ditangguhkan bermula 1 Julai, 2020 sehingga 31 Dis, 2022 disebabkan oleh penutupan sektor pelancongan akibat penularan pandemik Covid-19.
"Kutipan cukai pelancongan mula dilaksanakan semula pada 1 Januari 2023," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai jumlah kutipan cukai pelancongan setakat ini dan penggunaan cukai berkenaan.
Tiong menjelaskan, hasil kutipan cukai pelancongan diagihkan kepada Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri dan hanya boleh dibelanjakan bagi skop berkaitan pembangunan sektor pelancongan, seni dan budaya.
Beliau berkata ini merangkumi masing-masing penyelenggaraan dan penyediaan kemudahan pelancongan, bangunan dan tapak warisan; promosi dan pemasaran destinasi pelancongan; penambahbaikan terhadap penyusunan statistik pelancongan, seni dan budaya serta inisiatif pendigitalan produk pelancongan, seni dan budaya.
-- BERNAMA
#cukai pelancongan #seni dan budaya #kerajaan Persekutuan #kerajaan negeri #Tiong King Sing #pelancong