Kutip 400 kg sampah sempena Pulau Kita Day, puntung rokok paling banyak!

Sahlizah Mohamed
September 20, 2020 17:02 MYT
Pulau Kita Day yang menjalankan aktiviti perbersihan pesisir pantai berjaya kutip sekitar 400kg sampah dalam masa lima jam. Foto: Syaiful Redzuan Md Noor
Aktiviti pembersihan pesisir pantai sempena dengan Pulau Kita Day bertempat di Pulau Tioman, Pahang berjaya mengumpulkan hampir 400 kilogram (kg) sisa buangan dalam masa lima jam.
Pelbagai jenis sisa buangan ditemui di sekitar pesisir pantai antaranya beg plastik, pembalut makanan, straw dan yang paling banyak adalah puntung rokok iaitu sekitar 1,520 batang!
Program yang berlangsung pada Jumaat lalu memasuki edisi yang ketujuh di pulau berkenaan hasil anjuran sebuah organisasi advokasi alam sekitar antarabangsa, Ocean Conservasy yang mula menjalankan kerja-kerja pembersihan pantai di seluruh dunia sekitar 30 tahun lalu.
Pergerakan Ocean Conservasy menular sehingga ke negara ini yang kemudiannya dijadikan sebagai acara tahunan bagi program Pulau Kita Day.
Jurucakap Pulau Kita Day, Alvin Chelliah berkata, aktiviti pembersihan pantai terus berkembang termasuk di Malaysia yang digerakkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu.
“Aktiviti ini digerakkan oleh kumpulan-kumpulan sukarelawan dan lazimnya program membersihkan pantai akan dilakukan pada hari Sabtu, minggu ketiga pada bulan September.
“Tidak hanya mengumpul sisa buangan, kami turut merekod jenis sampah yang dikutip termasuk botol plastik, botol kaca, pembungkus makanan serta pelbagai lagi sampah menerusi aplikasi Clean Swell.
“Data-data berkenaan turut meliputi jumlah kutipan sampah di pantai seluruh dunia bertujuan meningkatkan usaha-usaha pengurusan sampah,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurut Alvin, pada edisi kali ini, sebuah mesin dibangunkan khas untuk menghancurkan botol-botol kaca yang dikutip.
Serpihan botol-botol kaca yang telah hancur akan dicampurkan dengan simen untuk dijadikan konkrit.
“Konkrit itu kemudiannya boleh digunakan untuk binaan atau apa-apa sahaja. Serpihan dihasilkan itu memiliki tekstur yang halus,kecil dan bersih serta tidak mempunyai sebarang kesan negatif kepada alam sekitar,” jelasnya.
Menggerakkan aktiviti berkenaan atas usaha keras Penganjur Pulau Kita Day, Hisham Uyub, Alvin memberitahu, setiap tahun apabila aktiviti ini dilakukan, mereka turut menggalakkan penyertaan penduduk setempat termasuk pengusaha-pengusaha resort serta pengusaha kedai-kedai dari kawasan sekitar.
“Amat penting untuk melakukan pembersihan pantai kerana ia mampu membuka mata orang ramai mengenai impak sampah kepada alam sekitar dan juga untuk mengelakkan sampah daripada termasuk ke dalam ekosistem marin,” katanya.
#Kutip sampah #Ocean Conservasy #Pahang #pembersihan pantai #Pulau Kita Day #Pulau Tioman
;