Kusta bukan penyakit keturunan, sumpahan, masyarakat perlu cegah diskriminasi - Khairy

Bernama
Januari 30, 2022 12:29 MYT
Kusta bukanlah satu penyakit keturunan atau satu sumpahan, tetapi ia adalah sejenis penyakit berjangkit yang boleh sembuh melalui pemberian rawatan terapi pelbagai ubat atau 'Multidrug Therapy'. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk berganding bahu mencegah diskriminasi terhadap pesakit kusta dan ahli keluarga mereka.
Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, penyakit ini bukanlah satu penyakit keturunan atau satu sumpahan, tetapi ia adalah sejenis penyakit berjangkit yang boleh sembuh melalui pemberian rawatan terapi pelbagai ubat atau 'Multidrug Therapy'.
"Setiap pesakit perlu bebas daripada cemuhan atau pengusiran akibat penyakit atau kecacatan fizikal yang terzahir. Jika mereka mengasingkan diri, sama-sama kita mendekati mereka dengan kata-kata semangat, dorongan dan bantuan.
"Berilah mereka kehormatan diri, kebebasan pergaulan dan peluang untuk menikmati kehidupan yang sejahtera, sama seperti yang lain," katanya dalam kenyataan hari ini sempena Hari Kusta Sedunia 2022 yang disambut setiap 30 Jan.
Khairy berkata, dalam soal ini, KKM akan berusaha mengenal pasti tahap keseriusan dan faktor diskriminasi melalui kajian sistematik.
Beliau dalam masa sama menasihatkan anggota kesihatan untuk menyalurkan maklumat tepat kepada orang awam mengenai penyakit kusta, selain memberikan rawatan sempurna kepada setiap pesakit dengan perkhidmatan mesra pelanggan dan mudah dicapai.
Jelasnya, penyakit kuno yang direkod seawal 1,500 tahun sebelum Masihi itu tidak mudah berjangkit namun jika dijangkiti dan lewat dikesan serta diberi rawatan, mampu menyebabkan kecacatan kekal kepada pesakit.
Susulan itu, kecacatan kekal tersebut dilihat mengundang banyak masalah sosial terhadap pesakit dan keluarganya, sekali gus menjejaskan kualiti hidup akibat pesakit tidak berupaya untuk menguruskan diri sendiri.
"Kadar kecacatan kekal yang dilaporkan dalam kalangan pesakit kusta adalah pada sekitar 0.02 hingga 0.05 kes bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu bersamaan empat hingga lapan peratus daripada keseluruhan kes kusta baharu yang dilaporkan setiap tahun," katanya. - BERNAMA
#kusta #penyakit berjangkit #sumpahan #Khairy Jamaluddin
;