Kusta bukan penyakit keturunan, rawat awal untuk elak komplikasi serius
Bernama
Januari 25, 2024 08:00 MYT
Januari 25, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penyakit kusta atau Hansen's disease bukan sejenis penyakit keturunan seperti yang dianggap masyarakat selama ini.
Sebaliknya, Pakar Perubatan Klinikal Dermatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Rebecca Choong Kai Jan berkata, penyakit itu yang menyerang kulit serta saraf perifer dan boleh menyebabkan kecacatan pada jari, kaki, mata serta wajah adalah disebabkan jangkitan kuman Mycobacterium leprae.
Beliau berkata. penyakit itu juga tidak berjangkit melalui sentuhan kulit tetapi melalui titisan cecair di udara yang dikeluarkan pesakit contohnya ketika bersin, batuk atau berkongsi makanan.
"Kadar jangkitan kusta adalah rendah, biasanya kontak rapat mesti berhubung sekurang-kurangnya 20 jam dalam seminggu selama tempoh tiga bulan untuk membolehkan seseorang itu dijangkiti.
"Berbeza dengan COVID-19, kadar jangkitannya lebih tinggi, contohnya kalau saya berbual dengan pesakit COVID-19, dalam masa 10 hingga 20 minit sahaja saya boleh dijangkiti," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia bertajuk "Kusta Bukan Penyakit Keturunan" yang disiarkan Bernama TV pada Rabu.
Choong berkata, terdapat dua jenis penyakit kusta iaitu Paucibacillary dan Multibacillary yang kedua-duanya boleh dirawat dan dapat mengurangkan komplikasi yang lebih buruk sekiranya dikesan lebih awal dan rawatan diberikan dalam kadar segera.
"Multibacillary bermaksud banyak, manakala bacillary ialah bakteria, jadi untuk jenis ini kumannya lebih banyak dan lebih serius. Bagi Paucibacillary pula ia tidaklah begitu serius.
"Simptom kusta biasanya ada ketulan pada tubuh badan, lebam dan perubahan warna kulit serta ulser pada kulit yang tidak sembuh. Kusta yang tidak dirawat akan menyebabkan banyak komplikasi antaranya kecacatan jari kaki dan tangan, hidung dan muka, ulser pada kulit membesar, mengalami katarak, glaukoma sehingga boleh menyebabkan buta," katanya.
Menurut Choong, tempoh rawatan pesakit kusta berbeza mengikut jenis penyakit dan pemantauan diperlukan selepas pesakit menjalani rawatan.
"Kalau kusta yang tidak serius, biasanya tempoh rawatan selama enam bulan dan kalau jenis serius, tempoh rawatan dalam 12 bulan. Selepas menerima rawatan, pemantauan diperlukan dalam tempoh lima tahun bagi Paucibacillary, manakala 15 tahun bagi Multibacillary.
"Biasanya, selepas seseorang pesakit kusta itu diberikan rawatan dengan pengambilan kombinasi beberapa jenis antibiotik selama empat minggu, ia tidak akan merebak menjangkiti orang lain," katanya. - BERNAMA