Kusta: 198-213 kes baharu dikesan dalam tempoh lima tahun - Dr Noor Hisham
Astro Awani
Januari 31, 2021 09:52 MYT
Januari 31, 2021 09:52 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia melaporkan 198 hingga 213 kes baharu penyakit kusta dengan kadar insiden kes di antara 0.57 dan 0.62 bagi setiap 100,000 penduduk berdasarkan pencapaian lima tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar prevalen adalah di antara 0.02 dan 0.14 kes bagi setiap 10,000 penduduk.
"Malaysia telah mencapai tahap eliminasi kusta pada tahun 1994 iaitu dengan kadar prevalen 0.9 kes bagi setiap 10,000 penduduk.
"Untuk rujukan, sasaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kurang dari 1 kes bagi setiap 10,000 penduduk," katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Kusta Sedunia hari ini.
Pada masa sama, kontak rapat kusta, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, adalah di antara golongan yang berisiko dan perlu diberi perhatian.
Penekanan terhadap pengesanan kes secara aktif (active case detection) dalam kalangan golongan berisiko di lokaliti endemik adalah fokus utama di dalam kawalan dan pencegahan kusta di Malaysia.
"Sasaran untuk meningkatkan pengesanan adalah bertujuan untuk mengurangkan beban dan penularan kusta di dalam komuniti yang berisiko melalui pemberian rawatan dan mengurangkan kejadian kecacatan kekal akibat kusta.
"Komuniti dan individu yang dibebani kusta perlu bekerjasama dengan mematuhi arahan yang diberi oleh anggota kesihatan terutama di dalam menjalani aktiviti saringan dan rawatan susulan," ujarnya lagi.
Pada masa sama, stigma dan diskriminasi adalah antara permasalahan yang masih dihadapi oleh pesakit dan keluarga mereka.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menyeru setiap anggota kesihatan dan pemimpin masyarakat untuk melibatkan diri di dalam mewujudkan kesedaran mengenai penyakit Kusta khusus kepada komuniti di lokaliti endemik yang berisiko tinggi.
"Kegiatan advokasi yang diiringi aktiviti pengukuhan diagnostik, rawatan, latihan dan kebajikan pesakit akan menjadikan kawalan Kusta lebih mantap dan lengkap," ujarnya lagi.
#kusta
#Noor Hisham Abdullah
#kadar prevalen
#Ketua Pengarah Kesihatan
#Kementerian Kesihatan
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#WHO
#Hari Kusta Sedunia