KUSKOP salur RM813.4 juta kepada PMKS, koperasi di Sabah tahun lepas
Bernama
Februari 11, 2025 20:30 MYT
Februari 11, 2025 20:30 MYT
Ewon berkata KUSKOP telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, bagi memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak terutamanya dalam konteks pembangunan keusahawanan. - Gambar FB Ewon Benedick Official Media
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan RM813.4 juta kepada 53,395 perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di Sabah, sepanjang tahun lepas.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata pembiayaan itu disalurkan melalui agensi KUSKOP antaranya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Selain itu, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga melaksanakan 41 program latihan dan bimbingan keusahawanan, memanfaatkan 1,585 usahawan.
"KUSKOP turut memperkenalkan program khas Ehsan@KUSKOP untuk membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah dan bagi tujuan itu Yayasan Bank Rakyat menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta.
"Program itu akan bermula tahun ini, di tiga daerah dikenal pasti mempunyai daftar kemiskinan tinggi iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata KUSKOP telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, bagi memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak terutamanya dalam konteks pembangunan keusahawanan.
Antara inisiatif baharu diperkenalkan KUSKOP khususnya untuk usahawan PMKS di Sabah ialah Projek Premis Tamu Desa, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) dan Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) PLUS.
Sepanjang tahun lepas, sebanyak 54 tapak Tamu Desa baharu dibina dan dinaik taraf di Sabah dengan peruntukan RM10,286,998.36, manakala pelaksanaan BEEP PLUS berjumlah RM8.39 juta memanfaatkan 113 syarikat selain 893 usahawan menerima pembiayaan SPUT sebanyak lebih RM3.56 juta.
"KUSKOP telah mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri melalui pembentukan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah serta Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah bagi aspek mekanisme penyelarasan," katanya.
-- BERNAMA