KUSKOP mudahkan urusan pinjaman usahawan, bantu hadapi kenaikan harga barang
Bernama
Februari 19, 2024 23:29 MYT
Februari 19, 2024 23:29 MYT
KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui pebagai agensinya, mengambil pendekatan memudah cara urusan pinjaman perniagaan kepada usahawan mikro yang terkesan dengan kenaikan kos dan harga barang.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata perkara itu termasuk sekiranya terdapat usahawan yang memerlukan pinjaman pada kadar maksima, atas faktor kenaikan harga barang yang meningkatkan kos operasi mereka.
"Saya telah meminta semua agensi untuk memudah cara urusan pinjaman usahawan. Inilah peranan kementerian dan agensi-agensi di bawahnya, seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional dan SME Corporation Malaysia, untuk membantu perusahaan kecil memulakan atau mengembangkan perniagaan.
"Namun sudah tentu terdapat kriteria dan syarat untuk dipenuhi, seperti sekiranya terdapat faktor (masalah) perundangan yang menyukarkan kita untuk memberi pinjaman...Pembiayaan yang diberikan juga mengikut skala operasi dan pengeluaran produk usahawan itu sendiri," katanya selepas melancarkan produk keluaran usahawan AIM, 'Sambal Mek Ngoh' di sini hari ini.
Dalam pada itu Ewon berkata KUSKOP juga sentiasa 'membuka pintunya' untuk membantu usahawan, terutama usahawan kecil yang masih lagi terkesan dengan pandemik COVID-19.
"Dalam libat urus saya dengan industri contohnya Dewan Perniagaan Melayu Malaysia memaklumkan, sebelum ini mereka mempunyai sekitar 30,000 ahli yang memiliki perniagaan, namun jumlah tersebut berkurangan kepada 23,000 selepas COVID-19. Ini baru satu persatuan. Mereka ini juga kita akan memudah cara urusan mendapatkan pembiayaan, bagi memulakan kembali perniagaan mereka," katanya.
Selain itu Ewon berkata COVID-19 juga, menyaksikan ramai golongan pekerja profesional mula berkecimpung dalam bidang keusahawanan, kerana kehilangan pekerjaan dan kementerian juga sentiasa bersedia untuk membantu golongan ini.
-- BERNAMA