KUSKOP komited perkasa pembangunan PMKS secara bersasar
Israr Khalid
Ogos 1, 2023 21:07 MYT
Ogos 1, 2023 21:07 MYT
BANGI: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya SME Corp. Malaysia komited untuk memperkukuh pelaksanaan program-program pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) secara bersasar.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif itu adalah seiring usaha merangsang pertumbuhan PMKS agar lebih berdaya tahan dan mampan.
“Setakat ini, terdapat 225 program pembangunan PMKS yang sedang giat dilaksanakan oleh 12 kementerian, 56 agensi dan tujuh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM10.6 bilion.
“KUSKOP akan terus komited dalam memperkasa PMKS supaya kekal berdaya saing bagi membolehkan mereka menembusi pasaran yang lebih luas di peringkat antarabangsa.
“Matlamat ini adalah selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi Malaysia Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya pada majlis pengumuman prestasi PMKS di Bangi pada Selasa.
PMKS Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 11.6 peratus pada 2022 mengatasi pertumbuhan KDNK negara pada 8.7 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sumbangan PMKS kepada KDNK juga meningkat kepada 38.4 peratus kepada 37.4 peratus pada 2021, manakala nilai ditambah berjumlah RM580.4 bilion, menandakan peningkatan yang ketara daripada RM520.0 bilion pada tahun 2021.
Beliau pada masa sama berpandangan, PMKS perlu mula berfikir secara global bagi memastikan penawaran produk dan perkhidmatan mencapai kualiti, piawaian, kapasiti pengeluaran dan tempoh penghantaran yang memenuhi kehendak pasaran dan kalis masa hadapan.
"Dasar dan inisiatif Kerajaan yang berstruktur dan menyokong pembangunan PMKS, di samping penyediaan pelbagai pakej rangsangan telah membantu PMKS kembali pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
“Momentum pemulihan dan pembangunan PMKS dijangka akan terus kukuh pada tahun 2023 seiring dengan penekanan yang diberikan oleh Kerajaan kepada PMKS di bawah Kerangka Ekonomi Malaysia Madani,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya antara strategi dan inisiatif yang melibatkan PMKS ialah pengantarabangsaan PMKS tempatan, menarik lebih ramai pelabur untuk membiayai PMKS dan menambah geran padanan digitalisasi sebanyak RM100 juta bagi membantu PMKS beralih kepada digitalisasi.
Selain itu, antara usaha lain termasuk menambah peruntukan RM400 juta untuk pinjaman mikro di bawah agensi-agensi termasuk SME Corp. Malaysia dan TEKUN Nasional yang merupakan agensi di bawah KUSKOP.
Tegasnya, kerjasama dengan pelbagai Kementerian, agensi dan industri akan diteruskan bagi membolehkan KUSKOP melaksanakan tanggungjawab membangunkan ekosistem keusahawanan yang komprehensif dengan lebih berkesan dalam menyokong pembangunan PMKS agar lebih progresif dan mampan.