KUSKOP bantu 612,692 PMKS dari Jan hingga September
Astro Awani
November 25, 2024 16:45 MYT
November 25, 2024 16:45 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 612,692 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi, perusahaan sosial, usahawan informal, penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara telah dibantu oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam tempoh Januari hingga 30 September tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata bantuan tersebut adalah hasil daripada pelaksanaan 206 program oleh KUSKOP dan agensi-agensi di bawah kementerian itu.
“Ia merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan kapasiti, adaptasi digitalisasi dan automasi, peluasan akses pasaran dan pembudayaan keusahawanan dengan nilai pembiayaan RM6.45 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.
Dari segi inisiatif di bawah agensi-agensi pembiayaan KUSKOP, Ewon memaklumkan sejumlah RM6.45 bilion pembiayaan disalurkan kepada 265,325 usahawan menerusi skim pembiayaan PMKS melalui TEKUN, AIM, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp dan PERNAS bagi tempoh Januari sehingga September lalu.
“Dalam tempoh yang sama, Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berjaya merekodkan jualan RM8.54 juta melibatkan 254,568 pengguna melalui 95 program JMKU yang dilaksanakan di seluruh negara.
“Pencapaian KUSKOP dari segi Program Bimbingan dan Latihan pula, berjaya membimbing dan melatih seramai 8,308 usahawan melalui aspek pengurusan perniagaan dan kewangan serta pemasaran produk di bawah INSKEN,” jelas beliau.
Dalam masa sama, Ewon menambah KUSKOP melaksanakan pelbagai inisiatif dan program merangkumi aspek penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran, adaptasi teknologi dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan sepanjang tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani.
“Antara program dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kementerian tahun ini ialah Program Pembangunan Premis Tamu Desa, bertujuan meningkatkan kemudahan infrastruktur bagi membantu para peniaga kecil di desa dan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Pada tahun ini sebanyak 92 tapak Tamu Desa dibina baharu dan dinaiktaraf dengan peruntukan RM19 juta di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.