Kuskop akan wujudkan skim khas keusahawanan bagi mahasiswa
Irwan Muhammad Zain
September 24, 2022 20:47 MYT
September 24, 2022 20:47 MYT
KUALA LUMPUR: Sebuah skim khas bagi mahasiswa yang menceburi bidang keusahawanan akan diwujudkan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Noh berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sedang menjalankan libat urus dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk merealisasikan hasrat tersebut.
Katanya, pihaknya menyedari ramai mahasiswa tempatan yang memiliki ilmu dan kepakaran dalam perniagaan tertentu, tetapi menghadapi masalah mendapatkan modal.
"Kita tengok sekarang kira-kira 500,000 mahasiswa yang telahpun menanam budaya keusahawanan, mereka nak mula berniaga tapi ada masalah modal.
"Kita berharap skim khas ini dipersetujui oleh MoF dan seterusnya diluluskan dalam pembentangan Bajet 2023 nanti,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Akses Kepada Pembiayaan (Biaya) Usahawan 2022 pada Sabtu.
Program Biaya yang merupakan platform bimbingan dan bantuan kewangan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) itu menarik seramai 3,100 pengunjung dengan potensi pembiayaan usahawan sebanyak RM31.66 juta.
Program anjuran Kuskop dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) itu diadakan selama dua hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Katanya, ia bertujuan memberi pendedahan akses terhadap peluang pembiayaan kepada usahawan PMKS serta mengembangkan perniagaan mereka.
Noh berkata program itu membabitkan 40 agensi pembiayaan termasuk institusi kewangan konvensional dan Islamik, institusi pembangunan kewangan (DFI), organisasi pembangunan keusahawanan serta syarikat perkhidmatan kewangan.
"Walaupun pandemik COVID-19 beransur pulih, masih ramai usahawan terutama PMKS yang mengalami kesukaran untuk memulihkan perniagaan mereka hingga ada yang terpaksa `gulung tikar'.
"Program Biaya Usahawan adalah usaha Kuskop memberikan pendedahan kepada PMKS dan bakal usahawan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan kemudahan yang disediakan kementerian dan agensi.
"Saya percaya jika program seperti ini diteruskan, hasrat Kuskop untuk menyebar luas inisiatif keusahawanan kepada masyarakat akan dapat direalisasikan," katanya lagi.
Noh berkata, turut diadakan, Program Intervensi - Peluang Kedua Kepada Usahawan iaitu program yang dirangka bagi membantu usahawan PMKS yang berdepan dengan masalah pengurusan kewangan serius dan berisiko muflis.
Katanya, Kuskop menerusi kerjasama di antara Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan AKPK memilih 40 usahawan PMKS yang akan mengikuti program bimbingan perniagaan secara intensif selama empat bulan.