Kursus kemahiran jahitan jana pendapatan untuk B40

Astro Awani
Oktober 9, 2020 22:16 MYT
Kursus yang mensasarkan golongan dari luar bandar untuk melibatkan diri dalam perniagaan baju sekolah memberi fokus kepada memenuhi pasaran setempat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kursus jahitan baju sekolah yang mensasarkan golongan B40 yang terkesan dengan pandemik COVID-19 menjana pendapatan dengan hasil secara mini pukal.
Ketua Pegawai Eksekutif Penna Writes Resources, Sharen Alzalip berkata, ia mensasarkan golongan dari luar bandar untuk melibatkan diri dalam perniagaan baju sekolah yang memberi fokus kepada memenuhi pasaran setempat.
"Kursus yang mensasarkan golongan B40 di Parlimen Bera ini akan dikembangkan di mana-mana kawasan lain pada masa akan datang.
"Peserta akan didedahkan dengan kemahiran asas menjahit bahagian-bahagian baju sekolah secara mini pukal.
"Secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk melibatkan diri dalam perniagaan jahitan baju sekolah bagi memenuhi pasaran setempat.
"Objektif utama kursus ini adalah memastikan kelangsungan hidup mereka dan membuka peluang kepada golongan sasar untuk menjana pendapatan tambahan bagi memastikan kelangsungan hidup setelah pendapatan mereka terjejas akibat wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Kursus yang dijalankan di Dewan Padang Luas Bera, Pahang itu merupakan inisiatif B40 Penjana Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) yang dianjurkan Penyedia latihan Penna Writes Resources PLT.
Kursus yang berlangsung selama 11 hari bermula Jumaat akan berakhir pada 19 Oktober itu melibatkan 250 peserta yang dibahagikan kepada 2 kumpulan.
Ia dirasmikan Ketua Wanita UMNO Bera, Datuk Sabariah Saidan.
Dalam pada itu, Sabariah menjelaskan, program itu memberi dimensi baharu kepada golongan B40 di luar bandar.
"Saya amat berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan di atas inisiatif Penjana HRDF yang tidak meminggirkan masyarakat di luar bandar.
"Program ini dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir untuk menghasilkan baju sekolah sekali gus memenuhi permintaan pasaran baju sekolah untuk penduduk setempat serta kawasan-kawasan di sekitarnya.
"Kursus ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran peserta di samping membuka peluang pekerjaan bagi meningkatkan pendapatan mereka," ujarnya.
#PENJANA #HRDF #Parlimen #B40 #COVID-19 #kursus jahitan baju #Sharen Alzalip #Penna Writes Resources
;