Kursus Integriti dan Antirasuah di IPT pastikan pelajar cakna kesan rasuah - MPPK

Astro Awani
Jun 6, 2022 05:00 MYT
CT Faizah Abdul Rahman berkata, kursus itu akan menjadi subjek yang sistematik dan berstruktur untuk memberi pemahaman pelajar mengenai rasuah dengan lebih mendalam. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yakin pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bermula tahun depan akan membolehkan pelajar lebih cakna dengan kesan dan akibat rasuah.
Dalam masa sama, Naib Presidennya, CT Faizah Abdul Rahman berkata, kursus itu akan menjadi subjek yang sistematik dan berstruktur untuk memberi pemahaman pelajar mengenai rasuah dengan lebih mendalam.
"Dengan adanya kursus atau integriti berkenaan ianya membolehkan pelajar lebih cakna dengan kesan dan akibat rasuah yang bukan sahaja memudaratkan diri sendiri tetapi juga akan mencemarkan imej negara.
"Kursus ini juga pastinya akan memberikan pendedahan serta kesedaran kepada pelajar supaya mereka tidak meminta rasuah dan tidak memberikan rasuah kepada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA: Kursus integriti, antirasuah diwajibkan di IPT tahun depan
Kata beliau lagi, kurang pemahaman mengenai definisi dan bentuk rasuah yang hadir dalam pelbagai cara menyebabkan golongan belia mudah terjebak dengan jenayah tersebut tanpa mereka sedar.
"Rasuah tidak semestinya hadir dalam bentuk wang ringgit, namun ia juga wujud dalam bentuk lain seperti salah guna kuasa, kenaikan pangkat, pemberian hadiah, imbuhan dan sebagainya.
"Jenis bentuk rasuah tersebut kebanyakan berlaku dalam kalangan belia yang mempunyai jawatan atau kedudukan yang tinggi dalam organisasi seperti ketua jabatan, pemimpin masyarakat yang terlibat dalam proses membuat keputusan," ujarnya.
Ujar beliau, inisiatif seumpama itu juga perlu bermula di bangku sekolah lagi agar jenayah rasuah di negara ini dapat dibendung di kalangan masyarakat di negara ini.
#Rasuah #MPPK #Kursus Integriti dan Antirasuah #IPT
;