Kursus BM untuk MP martabat bahasa kebangsaan

Sinar Harian
Oktober 3, 2018 09:47 MYT
Satu kriteria yang perlu ditetapkan untuk menjadi pemimpin negara adalah mereka harus mahir Bahasa Melayu. - Foto fail
Usaha kerajaan mengadakan kursus bahasa Melayu untuk semua ahli Parlimen bermula Januari tahun depan dilihat langkah yang baik untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.
Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, ini kerana penting bagi seorang pemimpin negara menguasai bahasa kebangsaan yang digunakan dalam setiap acara atau surat rasmi.
"Hari ini kita lihat (segelintir) mereka selama ini seolah-olah tak mengamalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kalau pendidikan seperti ini yang cuba dilakukan ini, apa salahnya, buatlah.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Dr Maszlee Malik (Menteri Pendidikan) menghantar wakil rakyat menyertai kursus ini. Betapa teruknya (segelintir) pemimpin sedia ada kerana tidak begitu mahir Bahasa Melayu," katanya kepada Sinar Harian.
Sabtu lalu, Maszlee berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan kursus Bahasa Melayu untuk semua ahli Parlimen bermula Januari tahun hadapan.
Katanya, ia bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan wakil rakyat berbilang bangsa seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan itu di Parlimen.
Dalam pada itu, Azwanddin turut mempersoalkan usaha berkenaan yang baharu hendak dilaksanakan tahun depan.
"Ini juga antara penyebab berlakunya penggunaan Bahasa Cina dan Tamil dalam surat rasmi yang jelas melanggar perlembagaan.
"Sepatutnya, salah satu kriteria yang perlu ditetapkan untuk jadi pemimpin di negara kita tanpa mengira kaum dan bangsa, mereka harus mempunyai mahir Bahasa Melayu," katanya.
#ahli Parlimen #Azwanddin Hamzah #Bahasa Melayu #Dewan Bahasa dan Pustaka #Januari #kerajaan #pemimpin
;