Kursus AI untuk pemimpin masyarakat akan dilaksanakan di Petra Jaya - Fadillah

Bernama
Mac 1, 2025 15:31 MYT
Fadillah hadir pada Majlis Penyampaian Geran Tahunan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Masjid dan Surau kawasan Parlimen Petra Jaya, hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Kursus kecerdasan buatan (AI) melibatkan pemimpin masyarakat dari kawasan Petra Jaya akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi memastikan teknologi itu tidak disalah guna, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata kursus itu juga bertujuan meningkatkan pembangunan ekonomi ke kawasan berkenaan.
Sehubungan itu beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Microsoft Malaysia bagi menggerakkan inisiatif tersebut dalam masa terdekat.
"Satu daripada fokus kita ialah bagaimana kita nak kuasai bidang AI ini dan juga teknologi-teknologi lain, supaya kita dapat memanfaatkan teknologi ke arah kebaikan seperti menyebarkan maklumat yang sahih dan pengurusan kepimpinan.
"Kumpulan sasar untuk menyertai kursus AI ini ialah pemimpin masyarakat, guru-guru dan belia, selain melibatkan juga golongan usahawan bagi mengasah kemahiran teknologi mereka untuk memasarkan produk," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Tahunan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid dan surau kawasan Parlimen Petra Jaya, hari ini.
Majlis itu menyaksikan sejumlah RM591,000 geran tahunan disalurkan kepada 87 JKKK dan 30 masjid, bertujuan merancakkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini.
-- BERNAMA
#kursus kecerdasan buatan #Fadillah Yusof #kawasan Petra Jaya #pembangunan ekonomi
;