Kursi Onn Jaafar bakal diwujud di UPNM

Wan Syamsul Amly
September 29, 2015 08:51 MYT
Datuk Seri Hishammudin Hussein berkata, kursi itu seharusnya sudah lama diwujudkan selepas pelbagai cabaran termasuk media sosial yang melanda masyarakat akhir-akhir ini.
Kursi Onn Jaafar yang akan diwujudkan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bakal memberi penekanan khusus dalam pengajian perpaduan dan keamanan sejagat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Hussein berkata, kursi itu seharusnya sudah lama diwujudkan selepas pelbagai cabaran terutama daripada media sosial yang melanda masyarakat akhir-akhir ini.
"Saya sudah diberi taklimat mengenai Kursi Onn Jaafar ini dan ia bertepatan dengan situasi semasa kini. Kursi itu juga akan diwujudkan dalam masa terdekat.
"Dalam dunia penuh peperangan, pembunuhan, kebencian, perpecahan, kerakusan dan keegoan ini, saya rasa penting untuk memikirkan landskap dunia tanpa sempadan.
"Kita juga harus lihat bagaimana kita di Malaysia ini dapat memposisikan kepimpinan muda di pentas dunia," katanya semasa sidang media selepas Kempen Keamanan dan Perpaduan di sini hari ini.
Pada 2014, Hishammuddin melancarkan Institut Onn Ja'afar (IOJ), bertujuan untuk menjalankan kegiatan yang menggabungkan penyertaan rakyat berbilang bangsa negara ini.
IOJ adalah sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan misi utamanya adalah untuk menjadi sebuah NGO utama di Malaysia yang dengan melaksanakan program kempen bagi membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik.
IOJ yang dilaksanakan di sekolah dan institut pengajian tinggi awam dan swasta turut membuka keanggotan kepada golongan pekerja dengan berdaftar menerusi laman web mereka.
Dalam pada itu, kata Hishammuddin, keamanan yang dikecapi negara hari ini diperoleh daripada kesusahan dan keperitan pejuang terdahulu.
"Keamanan yang kita kecapi hari ini tak datang bergolek, dia tak datang melayang. Ia menuntut kita sentiasa prihatin dan sentiasa melakukan apa saja untuk tidak membenarkan isu semasa atau keadaan semasa menjejaskan apa yang kita warisi.
"Cara bagaimana kita nak memupuk perpaduan tadi mengikut zaman sekarang menuntut kita membawa kaedah baharu dan kerana itu kewujudan kursi ini," katanya.
#Hishammudin Hussein #Kursi Onn Jaafar #pengajian perpaduan