Kursi Kepimpinan Islam Sultan Brunei dicadang ditubuhkan di UiTM

Bernama
Mei 5, 2019 06:10 MYT
Kursi Kepimpinan Islam Sultan Brunei diharap bakal menjadikan Malaysia dan Brunei sebagai pusat pengembangan ilmu yang berkaitan kesultanan Melayu.
Kursi Kepimpinan Islam Sultan Hassanal Bolkiah dicadang ditubuhkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan penubuhan kursi itu akan memfokuskan kepada kajian kepemimpinan Islam, pengurusan dan pelaksanaan serta undang-undang syariah.
Kursi itu diharap bakal menjadikan Malaysia dan Brunei sebagai pusat pengembangan ilmu yang berkaitan kesultanan Melayu khususnya dan kepimpinan umumnya di peringkat antarabangsa.
"Cadangan penubuhannya telah dipersembahkan dan memohon perkenan Sultan Hassanal Bolkiah hari ini (Ahad). Dengan itu, kursi ini boleh dijadikan pusat pengajian, penyelidikan, rujukan dan pengumpulan dokumentasi berkaitan kesultanan Melayu dan kepimpinan Islam," kata kementerian itu.
Sultan Hassanal Bolkiah telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor (Kepimpinan Islam) sempena Istiadat Konvokesyen ke-90 UiTM Mac lepas.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik selain menghadap Sultan Hassanal Bolkiah, turut mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya, Datuk Seri Awang Hamzah Sulaiman di Brunei.
Maszlee di samping itu mencadangkan kolaborasi pendidikan melalui pertukaran guru antara Brunei dan Malaysia diadakan. -- Bernama
#Brunei #guru #Islam #Kementerian Pendidikan #Malaysia #MARA #Maszlee Malik #Melayu #menteri #pendidikan #syariah #UiTM #undang-undang
;