Kurma dari Israel: Matahari mohon maaf, akui terlepas pandang

Astro Awani
Mac 14, 2024 23:23 MYT
Pada Rabu, JKDM merampas 73 pek buah kurma disyaki produk dari Israel dalam satu serbuan di sebuah gudang penyimpanan makanan di Pelabuhan Klang. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Syarikat pengimport, pemborong, peruncit dan pengedar produk organik dan semula jadi, Matahari Sdn Bhd mengeluarkan permohonan maaf kepada rakan kongsi dan pelanggan mereka susulan rampasan produk kurma dari Israel.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Matahari memaklumkan produk berkenaan diterima daripada pembekal mereka di Greece, namun mengakui terlepas pandang berhubung asal usul produk itu semasa proses pelabelan.
Jelas mereka, kekhilafan itu hanya disedari apabila ia menjadi perbualan di media sosial dan tindakan segera diambil bagi memanggil semula produk tersebut dari pasaran.
"Kami ingin menyatakan bahawa Matahari tidak pernah secara sedar atau sengaja memesan produk atau menjalankan sebarang perniagaan dengan Israel, dan tidak pernah melanggar sebarang peraturan.
"Kami berkongsi kebimbangan sesama rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Islam, dan ingin mengesahkan bahawa kami tidak menyokong Israel dalam apa cara sekalipun," jelas kenyataan itu.
Matahari juga menjelaskan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa, selain menyemak proses pembekalan bagi mengelakkan kesilapan sama berlaku pada masa hadapan.
Pada Rabu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 73 pek buah kurma disyaki produk dari Israel dalam satu serbuan di sebuah gudang penyimpanan makanan di Pelabuhan Klang, dengan label 'Organic Jumbo Medjool Dates' dipercayai dibawa masuk secara pukal dan dibungkus semula untuk dijual di pasaran tempatan.
#kurma #Israel #memesan produk #JKDM
;