Kurikulum pembelajaran harus diubah mengikut keperluan semasa - Melissa Tanya Gomes
Israr Khalid
Februari 25, 2022 13:20 MYT
Februari 25, 2022 13:20 MYT
KUALA LUMPUR: Penetapan sukatan mata pelajaran di sekolah hari ini tidak lagi terus mengikut cara lama dan harus diselaras mengikut keadaan semasa yang telah banyak berubah sejak pandemik COVID-19 melanda.
Tegas Ketua Pegawai Eksekutif Edvolution Enterprise, Melissa Tanya Gomes, dua tahun menempuh pandemik sepatutnya dilihat sebagai ruang untuk dimanfaatkan bagi melihat semula kesesuaian kurikulum sedia ada.
Katanya, masalah pendidikan hari ini bukan sepenuhnya pada kegagalan guru menyesuaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan cara baharu, tetapi ada antara silibus yang tidak relevan dengan situasi dunia terkini.
“Dengan keanjalan diberikan kepada guru-guru untuk mengendalikan PdPR, masih ada masalah.
“Saya bagi contoh anak saya di sekolah rendah, dalam waktu PdPR dia kena belajar pendidikan jasmani. Jadi persoalannya adakah subjek ini masih relevan ketika pendemik atau guru kena laksanakannya semata-mata mengikut silibus?
Beliau melihat mungkin akar permasalahan ini adalah daripada pelaporan data kajian yang tidak tepat.
Pemerhatian pihaknya mendapati, data yang dilaporkan kepada kementerian tidak seperti yang dikumpul dari lapangan, menurutnya kerana muncul pihak-pihak tertentu yang mengubah data untuk memenuhi kepentingan mereka.
Menurut Melissa, itu yang menyebabkan pihak pembuat dasar tidak dapat merangka solusi yang benar-benar menyelesaikan masalah-masalah dalam proses PdPR.
“Adakah proses pengumpulan data di sekolah ni dijalankan dengan sahih, menunjukkan murid-murid betul-betul belajar, betul seronok dan sebagainya.. kerana data yang betul akan bagi kita penyelesaian yang betul.
“Dalam perakaunan, ada terma yang dipanggil GIGO iaitu ‘garbage in-garbage out’. Jadi, kalau dapat data yang tidak tepat, kita akan dapat hasil yang tidak tepat.”
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Dzulfitri Yusop. Tonton di sini: