Kurangkan pekerja asing, Sarawak giat latih anak tempatan
Astro Awani
Oktober 20, 2020 15:51 MYT
Oktober 20, 2020 15:51 MYT
KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, sebaliknya mahu buka lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan untuk bekerja di negeri itu.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata sudah tiba masanya anak tempatan diberi peluang untuk terlibat dalam pembangunan Sarawak terutamanya dalam projek berskala besar.
“Kita bergantung kepada tenaga kerja teknikal yang kita perlu bawa daripada luar contohnya, Semenanjung Malaysia, Indonesia, China dan sebagainya.
"Kita patut melatih tenaga kerja teknikal tempatan sebab pada masa akan datang, kita akan mempunyai tenaga kerja teknikal yang profesional di pasaran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JKR dan Sarawak Skills pada Selasa.
Tambah Julaihi, dengan jumlah projek mega yang masih banyak, maka kepentingan tenaga kerja yang profesional amat diperlukan.
Justeru, kolaborasi antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Sarawak Skills adalah relevan.
“Apabila kita mempunyai projek mega sepanjang Sarawak, sudah semestinya kita memerlukan ramai pekerja terlatih.
"Dengan adanya MoU pagi ini, saya menjangkakan bahawa ia adalah langkah yang betul, jelas Julaihi.
MoU antara JKR dan Sarawak Skills ini antara lain bertujuan untuk membangun dan memperluaskan laluan kerjaya untuk kakitangan yang berkelayakan melalui kursus yang diperakui.
Selain itu ia membolehkan kakitangan teknikal mendapat pengiktirafan formal melalui program Recognition Prior Experiential Learning (RPEL).
Ketika ini, Sarawak Skills menyediakan lebih daripada 60 kursus dari 10 kluster. Pelatih pula terdiri daripada pelatih dari Sarawak Skills, pelatih dalaman JKR, pelatih CREaTE JKR dan pelatih luar.