Kurangkan masa tempoh pengambilan, pengurusan pekerja asing dijajar semula

Bernama
Januari 5, 2023 23:45 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) bersama Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar ketika sidang media. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Pengurusan pekerja asing antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dijajarkan semula dalam usaha mengurangkan tempoh masa pengambilan pekerja asing kepada kurang daripada 30 hari.
Cadangan penjajaran semula fungsi pengurusan pekerja asing itu adalah antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing yang berlangsung di sini hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengurusan pekerja asing akan diterajui KDN sebagai 'penjaga' utama manakala peranan KSM dalam aspek tertentu dikekalkan.
Menurut Saifuddin Nasution, peranan KSM dari aspek keakuran kepada dasar perburuhan, penentuan kelayakan kuota dan pemuktamadan kerjasama dengan negara sumber masih di bawah kementerian tersebut dalam penjajaran semula itu, malah ia akan terus diperkukuhkan.
Pada April 2022, katanya aspek pengurusan pekerja asing berpusat adalah di bawah KSM dan kini, KSM kekal dalam proses seperti mengenal pasti negara sumber dan mengadakan perjanjian.
"Dalam proses penjajaran ini, kelulusan tiga perempat (3/4) akan berada di bawah bidang kuasa KDN, contohnya proses majikan memohon pekerja dan kebenaran awal memohon kuota," katanya dalam sidang media bersama-sama Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar selepas mesyuarat khas itu.
Beliau berkata Jemaah Menteri pada 7 dan 21 Dis lepas bersetuju menjajarkan semula peranan pengurusan pekerja asing dan mempertimbangkan kelonggaran yang wajar bagi tujuan penggajian pekerja asing di Malaysia.
Beliau berkata pemegang taruh seperti majikan, industri, persatuan serta pekerja asing tidak perlu khuatir dengan penjajaran semula itu kerana ia tidak akan menjejaskan tatacara dan carta alir permohonan penggajian pekerja asing sedia ada.
"Fokus penjajaran adalah kepada tatakelola pengurusan pekerja asing," katanya.
Beliau berkata mesyuarat hari ini turut bersetuju dengan cadangan kelonggaran syarat dan prosedur permohonan kuota pekerja asing kepada tahap yang paling optimum bagi mengimbangkan antara keperluan pembangunan ekonomi dengan kepentingan keselamatan negara.
Antara lain, katanya, kelonggaran itu merangkumi usaha untuk memudah cara penilaian kelayakan bagi menggaji pekerja asing, penelitian terhadap syarat-syarat kelulusan kuota dan proses keimigresenan dan tapisan keselamatan.
"Kita harap (penjajaran) ini akan membuatkan proses pengambilan pekerja asing dilaksanakan kurang 30 hari. Kita lihat ruang untuk tempoh itu dipendekkan," katanya.
Sehingga 31 Dis lalu, terdapat 1,459,196 orang pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) di Malaysia dengan sektor perkilangan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 538,148 orang diikuti pembinaan (315,932) dan perkhidmatan (221,621).
Jumlah tersebut termasuk 316,446 pekerja asing baharu yang digajikan pada tahun lalu, katanya. serta menambah pekerja asing tertinggi di Malaysia adalah dari Bangladesh, Indonesia dan Nepal.
Pada tahun lalu, katanya, sebanyak 1,606,724 permohonan kuota pekerja asing diterima dengan 676,070 telah diluluskan dan daripada jumlah itu, sebanyak 635,234 sudah dibayar levi.
"Daripada jumlah kuota yang telah selesai pembayaran levi, bilangan kuota yang memohon Visa Dengan Rujukan (VDR) adalah sebanyak 463,255 dan jumlah yang diluluskan adalah 452,963," katanya.
Saifuddin Nasution berkata kerajaaan sentiasa memastikan pengurusan pekerja asing di Malaysia sentiasa berlandaskan undang-undang negara dan pada masa yang sama menjamin semua pekerja asing yang berada di Malaysia dilindungi haknya secara saksama.
-- BERNAMA
#KDN #Kementerian Dalam Negeri #Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail #Kementerian Sumber Manusia
;