Kurangkan cukai pada makanan sihat, cara galakkan rakyat turunkan kalori - Netizen
Madiha Abdullah
Mac 25, 2019 14:26 MYT
Mac 25, 2019 14:26 MYT
IDEA mengurangkan cukai bagi mereka yang berjaya membakar sejumlah kalori seperti yang diutarakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menerima reaksi yang pelbagai daripada netizen.
Namun melihat kepada jumlah undian yang dibuat Astro AWANI, lebih ramai menganggap ia bukanlah idea yang bernas, dengan lebih 6,000 undian menyatakan 'tidak payah'.
Ini kerana netizen berpendapat cukai dan kesihatan adalah dua perkara yang berbeza, selain faktor kesukaran mencari mekanisme pengukuran yang efektif untuk melaksanakannya.
Di ruangan komen, netizen menyatakan sokongan terhadap hasrat Syed Saddiq yang mahu menurunkan ranking negara dalam carta penghidap diabetes di dunia, namun meminta kerajaan mencari inisiatif yang lebih menyeluruh.
"Saya fikir jika niat asalnya hendak galakkan rakyat hidup sihat maka kerajaan boleh melaksanakan beberapa inisiatif.
"Antaranya 0% cukai SST dikenakan terhadap makanan yang dikategorikan sebagai sihat," kata pengguna Facebook dengan nama Ili Fadzil.
Bagi yang bersetuju, mereka melihat ia satu usaha yang baik kerana sudah sampai masanya satu langkah drastik diambil bagi menggalakkan gaya hidup sihat.
Syed Saddiq sebelum ini dalam satu temubual bersama Astro AWANI memaklumkan, Kementerian Belia dan Sukan sedang mencari apakah mekanisme terbaik untuk mengukur kalori yang dibakar oleh setiap rakyat dan disulam dengan teknologi yang mengumpulkan maklumat di pangkalan data setiap rakyat untuk diberi pengurangan cukai.
“Ini merupakan antara idea yang sedang diperhalusi dan kami sedang mencari cara bagaimana untuk mengukurnya,” ujar Syed Saddiq.
#cukai
#kalori
#KBS
#kerajaan
#kesihatan
#Menteri Belia dan Sukan
#rakyat
#sukan
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman