Kurangkan beban pemuzik jalanan, K-KOMM akan bincang dengan beberapa kementerian

Bernama
Oktober 31, 2022 19:46 MYT
Zahidi Zainul Abidin bergambar dengan penghibur jalanan pada Sesi Santai Bersama persatuan itu di Ruang Legar Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian bagi mencari kaedah mengurangkan bebanan pemuzik jalanan termasuk isu bayaran royalti.
Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, perbincangan itu melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Isu yang sedang menekan para pemuzik jalanan ketika ini ialah berkaitan bayaran tapak atau lesen dan juga royalti yang terpaksa mereka tanggung sedangkan kita tahu mereka ini buat persembahan pun tiada bayaran dikenakan.
"Ada sesetengah tempat kerajaan tempatan kenakan bayaran yang agak tinggi, kalau boleh kita mahu bincang supaya ia dapat diberi percuma atau kenakan bayaran yang minimum," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Sesi Santai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan Malaysia, di sini, hari ini.
Mengenai bayaran royalti pula, Zahidi berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk mewujudkan Perbadanan Muzik yang dilihat dapat membantu mengurangkan bebanan pemuzik jalanan itu.
"Selain itu, melalui inisiatif MyCreative Ventures juga kita akan lihat bagaimana untuk kita adakan pertunjukan yang kita anjurkan sendiri yang tujuannya untuk beri peluang kepada para pemuzik jalanan ini mengadakan persembahan mereka," katanya. - BERNAMA
#Pemuzik jalanan #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #isu bayaran royalti #Zahidi Zainul Abidin
;