Kurangkan aktiviti luar termasuk adakan perhimpunan - Subramaniam

T K Letchumy Tamboo
September 15, 2015 14:15 MYT
Kementerian Kesihatan hari ini menasihatkan rakyat Malaysia untuk kurangkan aktiviti luar ekoran jerebu teruk yang melanda negara, termasuk tidak terlibat dalam sebarang perhimpunan.
Kementerian Kesihatan hari ini menasihatkan rakyat Malaysia untuk kurangkan aktiviti luar ekoran jerebu teruk yang melanda negara, termasuk tidak terlibat dalam sebarang perhimpunan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata aktiviti luar akan membawa kesan buruk kepada kesihatan.
“Kalau perlu guna topeng muka. Jangan pergi berjoging semasa jerebu, terutamanya mereka yang menghidapi penyakit seperti asma,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Megatech International College di sini, hari ini.
Subramaniam berkata terdapat peningkatan kes-kes kesihatan berkaitan jerebu di klinik-klinik tempatan namun, jumlahnya tidaklah begitu tinggi.
“Klinik kita ada peningkatan kes seperti batuk dan sebagainya. Kita biasanya dalam musim ini ada sedikit kenaikan (kes kesihatan), tetapi (kali ini) tidak ketara,” katanya.
Beliau menambah bahawa staf kesihatan dan bekalan topeng muka mencukupi setakat ini.
Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka ditutup pada Selasa ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 200.
Walaupun jerebu teruk, kumpulan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) akan tetap menganjurkan Himpunan Rakyat Bersatu esok.
#jerebu #subramaniam