Kurang pelanggan, peniaga salahkan tahun ular
Haider Yutim
Februari 9, 2013 16:04 MYT
Februari 9, 2013 16:04 MYT
Ketika para peniaga sedang tidak sabar menanti kehadiran Tahun Baru Cina, penjaja di Jalan Petaling yang rata-ratanya berbangsa cina lain pula ceritanya.
Ramai daripada mereka mengeluh bahawa perniagaan mereka agak perlahan berbanding tahun lepas.
Tinjauan Astro Awani mendapati kebanyakan mereka menyalahkan ‘Tahun Ular’ di atas kelembapan jualan.
Antara penjaja yang berpendapat sedemikan termasuk Wong Siew Fun, seorang pemilik kedai barangan hiasan dan cenderamata.
“Hakikatnya tahun ini bukan sesuatu yang disambut sepenuhnya, sebab ramai tidak sukakan ular,” kata Wong.
Ketika ditanya sebab, dia memberitahu ular bukanlah haiwan yang digemari disebabkan sifatnya yang ganas dan membawa nasib tidak baik.
“Walaupun pada hari minggu, saya tidak dikunjung ramai pelanggan,” keluh Wong yang sudah lebih enam tahun berniaga.
Seorang lagi pemilik kedai, Yee Chooi Foong turut bersetuju dengan pendapat Wong.
Yee memberitahu, tidak ramai yang datang untuk membeli patung-patung atau cenderamata yang bermotifkan ular.
“Kebanyakan mereka takut... saya sendiri pun takut (ular),” katanya sambil memberitahu perniagaannya tidak selaris tahun lepas.
Bagi penjual jam tangan, Peter Liew, kekurangan pelanggan ini didakwa berpunca oleh keadaan ekonomi yang kurang baik.
“Persiapan saya untuk tahun ini juga kurang meriah disebabkan keadaan ekonomi sekarang. Saya rasa disebabkan oleh tahun ular,” kata Peter.
Sementara itu seorang pelanggan, Orson Liew pula bersetuju bahawa tahun ular bukan lah tahun yang baik untuk berniaga.
Dia juga turut menyarankan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan wang mereka.
Sungguhpun begitu, bagi pasangan dari Belanda Marc dan Monique pula, mereka amat kagum dengan sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur.
“Ini kali pertama kami melawat Jalan Petaling dan kami kagum dengan suasana sambutannya. Hiasannya juga amat menarik,” kata Marc.
Ditanya pandangan mereka tentang tahun ular yang dikatakan membawa nasib tidak baik, mereka berkata,”Walaupun ia bukan dalam kepercayaan kami, namun kami tetap akan berhati-hati.”
Ketika kebanyakan mereka hanya menyerahkan nasib kepada tahun Ular, terdapat sebuah kedai yang mengambil langkah berbeza.
Pemilik kedai tersebut memilih untuk ‘mengubah’ nasibnya dengan meletakkan patung anak-anak naga di depan kedainya.
Seorang pembantu kedai, Chong Wai Keong percaya patung ‘tiga anak-anak naga’ itu mampu membawa tuah.
CHONG: 'Anak-anak Naga' membawa tuah
“Patung patung ini boleh menghalang nasib buruk dari memasuki kedai dan diharap perniagaan kami akan menjadi baik,” tambah Chong.
Tahun Baru Cina akan disambut esok dengan tradisi makan besar keluarga malam ini.