Kurang pekerja, COVID-19 antara punca 3 projek sakit di Sabah - Dr Zaliha

Abdul Hafiz Mustadi
April 8, 2023 13:00 MYT
Dr Zaliha (kiri) mendengar taklimat berhubung perkembangan pembinaan Hospital Papar dalam lawatan kerjanya di Papar. -Foto Sinar Harian
PAPAR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga projek yang dikategorikan sebagai 'projek sakit' di Sabah tahun ini.
Angka itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan sebanyak 12 projek sakit di bawah KKM di seluruh negara.
Tiga projek itu ialah Hospital Papar (kurang 11.72 peratus, lewat 89 hari), Hospital Beaufort (kurang 45.97 peratus, lewat 553 hari), dan KK5 Sikuati, Kudat (lewat 37.12 peratus, lewat 271 hari).
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, penyediaan pekerja dan bahan merupakan antara faktor yang mempengaruhi kelewatan projek hingga dikategorikan sakit selain faktor pandemik COVID-19.
"Kita tahu kita berdepan dengan COVID-19 baru-baru ini. Tiga tahun projek ini tidak dapat berjalan.
"Tetapi ada faktor-faktor lain yang telah dikenal pasti, mungkin dari sudut penyediaan pekerja oleh kontraktor. Mungkin ada sedikit berkaitan bahan.
"Jadi itu semua memberikan faktor yang menyebabkan projek ini lewat dan kita kategorikan sebagai projek sakit," kata Dr Zaliha ketika ditemui media sewaktu melakukan lawatan kerja di tapak naik taraf Hospital Papar, pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha menambah, KKM sentiasa mengambil perhatian terhadap jumlah staf yang diperlukan bagi setiap hospital.
Malah, katanya, unjuran juga turut dibuat untuk mengenal pasti jumlah staf diperlukan terutamanya bagi hospital baharu.
"Apabila kita merancang untuk bina hospital, kita ada unjuran berapa staf kita perlukan untuk sesebuah hospital.
"Jadi semua itu akan dirancang dan diambil perhatian dan akan disediakan mengikut apa yang kita perlu," tambah beliau.
#Zaliha Mustafa #projek sakit KKM #kekurangan pekerja #COVID-19
;