Kurang kemudahan infrastruktur cabaran basmi kemiskinan - Prof Suhaiza Zailani

Faida Rahim
September 23, 2023 08:20 MYT
Suhaiza berkata, kerajaan berperanan untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan menyediakan peluang menambah ekonomi kepada golongan yang kurang bernasib baik. - Foto Universiti Malaya
KUALA LUMPUR: Kekurangan akses kepada kemudahan infrastruktur asas merupakan antara cabaran utama usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan penduduk negara ini.
Demikian disuarakan Prof Datin Seri Suhaiza Hanim Mohamad Zailani yang berpendapat, pembangunan infrastruktur yang lengkap mampu menjadi pemangkin kemajuan, terutama di luar bandar, termasuk dari segi ekonomi dan modal insan.
Katanya, usaha membasmi kemiskinan luar bandar memerlukan strategi tepat bagi memastikan mereka yang berada dalam kategori B40 dapat meningkatkan pendapatan isi rumah.
"Ancaman di sini ialah terdapat jurang daripada segi infrastruktur, iaitu perbandingan antara kawasan bandar dan kawasan luar bandar.
"Kalau kita lihat kajian sebelum ini, di luar bandar itu agak terimpak dengan kekurangan infrastruktur pendidikan, akses kepada kesihatan dan juga keadaan jalan raya, yang penting untuk kemashalatan masyarakat," kata Pengarah Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz Universiti Malaya itu.
Menurut Suhaiza, pelbagai pihak perlu menangani dan mengambil tindakan supaya tidak ada jurang ketara antara penduduk di bandar dan luar bandar.
"Contohnya, akses daripada segi komunikasi - 4G atau 5G. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah melakukan pelbagai program untuk memastikan luar bandar juga boleh dapat akses kepada internet.
"Kerana, internet itu penting, tidak kira umur dan bangsa. Amat penting untuk mendapat maklumat kerana ia akan memberi rakyat lebih pengetahuan, termasuk (peluang) menambah pendapatan dan sebagainya," katanya.
Dalam pada itu, Suhaiza berkata, antara cabaran lain menangani isu miskin tegar sifar ialah kebergantungan kepada satu sumber pendapatan dan kekurangan keupayaan untuk memanfaatkan peluang ekonomi.
"Selain itu, bagi Malaysia sebagai sebuah negara membangun, kerajaan juga perlu pastikan punca ekonomi adalah pelbagai, tidak hanya tertumpu kepada satu sektor ekonomi sahaja.
"Kita perlu mempelbagaikan dan menekankan pentingnya melebihkan pengeluaran tempatan. Salah satunya, ia boleh meningkatkan keupayaan negara untuk menjadi pengeluar, seterusnya mengeksport produk kita.
"Ini secara langsung boleh meningkatkan pendapatan negara, jumlah peluang pekerjaan dan sebagainya," katanya.
Kurang kemudahan infrastruktur cabaran basmi kemiskinan
Tambah Suhaiza, menjadi peranan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan menyediakan peluang ekonomi kepada golongan kurang bernasib baik.
Ini kerana, katanya, situasi kelemahan itu menjadi punca golongan miskin bandar menerima kadar upah rendah, termasuk peluang menjana pendapatan yang terhad.
Katanya, kerajaan juga perlu melipatgandakan usaha untuk terus merancakkan sektor ekonomi golongan sasar dari kategori B40 dan M40, agar kedudukan sosioekonomi masyarakat dapat diseimbangkan.
#MCMC #garis kemiskinan #isi rumah #miskin tegar sifar
;