Kurang ilmu agama punca terpedaya pakej taubat RM20 - Idris
Astro Awani
April 26, 2022 17:44 MYT
April 26, 2022 17:44 MYT
PUTRAJAYA: Sekiranya umat Islam mempunyai ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan agama, mereka tidak akan mudah menjadi mangsa dan umpan kepada golongan yang ingin mengambil kesempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, kejahilan terhadap agama menjadi puncanya wujud perbuatan mengambil kesempatan mencari keuntungan seperti pakej taubat RM20 yang tular baru-baru ini.
“Timbul isu pakej taubat RM20 dan benda pelik ini berpunca daripada kita jahil tentang agama. Akhirnya orang mengambil kesempatan atas kejahilan kita untuk menggunakan agama bagi perniagaan mereka.
“Kalau orang cerdik, kita tahu taubat Allah SWT itu tak perlu tol, tak perlu orang perantaraan. Kita bertaubat (daripada) melakukan dosa dan maksiat, minum arak, main judi.
“Pintu taubat sentiasa terbuka selagi matahari tak naik sebelah barat, selagi nyawa kita tak lepas halkum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Mashaf Al-Quran Braille Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2022M di sini, pada Selasa.
Tegasnya, tidak perlu berjumpa tok guru, ustaz atau ustazah kerana taubat yang dibuat adalah terus dengan Allah.
Dalam pada itu, ketika ditanya kontroversi melibatkan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, Idris berkata, sudah membawa perkara tersebut kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).
“Kita ada tuan rumah iaitu K-KOMM dan bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada had tertentu. Hal berkaitan media ini di bawah K-KOMM dan netizen kadang-kadang tidak tahu.
“Apa benda yang berlaku, dia kata Jakim tak buat apa sebagainya. Kita nak masuk rumah orang kena ketuk pintu, jadi kita bekerjasama dengan kementerian.
“Dalam hal ini, (kerjasama) dengan K-KOMM manakala bagi soal ajaran agama misalnya, di bawah jabatan agama Islam negeri. Jakim tak boleh buat (tindakan),” katanya.
Terdahulu, Aliff Syukri tiba pada pukul 9.58 pagi pada Selasa di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang menerima kecaman hebat.
Video tersebut mendapat kecaman selepas beberapa penari lelaki di dalam video tersebut melakukan tarian yang dianggap keterlaluan dan warganet menganggap ia seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan.