Kurang dana, pendaki KAME teruskan misi ke puncak Everest
Bernama
April 14, 2022 16:22 MYT
April 14, 2022 16:22 MYT
SEPANG: Berbekalkan semangat Keluarga Malaysia, sepuluh pendaki Keluarga Malaysia Everest 2022 (KAME 2022) tetap bermotivasi tinggi untuk menawan puncak tertinggi dunia Gunung Everest, meskipun berdepan kekangan dana.
Ketua misi KAME 2022 Azim Afif Ishak berkata mereka masih kekurangan RM1 juta daripada anggaran RM2.3 juta perbelanjaan yang diperlukan untuk menjayakan misi tersebut.
"Ketika berita dana masih tidak cukup dimaklumkan kepada pendaki, ada yang mengalirkan air mata, (mereka berasa) hiba dan sedih. Ini kerana ada antara pendaki terpaksa berhenti kerja, cuti tiga bulan tanpa gaji serta meninggalkan keluarga dan anak kecil.
"Tetapi kerana semangat untuk membawa imej Malaysia itu setinggi Gunung Everest, kesemua pendaki kembali bersemangat," katanya ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. sebelum pasukan itu berlepas ke Kathmandu, Nepal.
Selain Azim Afif, KAME 2022 turut disertai pendaki orang kurang upaya (OKU) Muhammad Hawari Hashim, 31, bekas pesilat negara Rina Jordana Adnan, 42, Ahmad Murshid Maktar, 35, Ayu Wanirah Naharuddin, 29 dan Jack Oh Jin Heng, 37.
Turut menyertai misi itu ialah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah Awang Askandar Ampuan Yaacub, 54, selain tiga wakil Komando VAT 69 iaitu Kanang ak Usin, 42, Pragash Murugesu, 32 dan Mohammad Hanif Che Ahmad, 28.
Azim Afif menjelaskan misi tersebut memakan kos yang tinggi kerana permit untuk mendaki Gunung Everest adalah sebanyak AS$11,000 (RM46,500) seorang manakala bayaran untuk seorang sherpa atau pengiring pendaki adalah antara AS$10,000 hingga AS$15,000 (RM42,300 hingga RM63,400).
Selain itu, katanya, pakaian lengkap bagi setiap pendaki memakan kos RM20,000 untuk memastikan keselamatan setiap pendaki.
"Setiap pendaki perlu mendapat kelengkapan secukupnya kerana misi sedemikian bukan sahaja menguji mental dan fizikal tetapi bencana alam seperti runtuhan salji," katanya.
Beliau berkata perjalanan pasukan KAME 2022 ke Gunung Everest akan dirakam dan didokumentarikan untuk tatapan rakyat Malaysia selain menjadi panduan kepada pendaki generasi muda.
"Misi kali ini bukan sekadar mendaki, tetapi untuk mereka (rakyat) memahami serta menyelami inti pati semangat Keluarga Malaysia yang menerapkan perpaduan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama serta latar belakang, supaya perpaduan dalam kalangan rakyat dapat diperkukuhkan lagi," jelasnya.
Sementara itu, Awang Askandar berkata kekurangan dana adalah rintangan yang terpaksa diharungi bersama dan tidak sesekali melunturkan semangat mereka.
"Ini kerana misi kali ini adalah misi negara mewakili Keluarga Malaysia. Di sini adalah permulaan terciptanya sejarah dalam pendakian negara yang diwakili pendaki daripada pelbagai bangsa dan agama serta badan beruniform," katanya.
-- BERNAMA