'Kurang cakna terhadap orang miskin punca wujud peminta sedekah' - Mufti Perak
Hasimi Muhamad
Mac 27, 2019 19:24 MYT
Mac 27, 2019 19:24 MYT
KEHADIRAN peminta sedekah di ibu kota nampaknya semakin menjadi-jadi, dan isu ini seolah ‘kudis’ buat negara walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk membendung aktiviti ini.
Kalau dahulu kebanyakan pengemis sinonim dengan pakaian yang kusam dan compang-camping, tetapi jangan terkejut kerana pada hari ini mereka sudah tampil dengan imej yang lebih kemas dan terurus.
Malah, modus operandi itu dikesan wujud di sekitar Kuala Lumpur dan kumpulan terbabit mensasarkan orang awam yang lalu lalang di kawasan-kawasan tertentu.
Namun di sebalik sikap pemurah rakyat Malaysia, tidak dinafikan timbul juga perasaan curiga dan rasa 'jengkel' apabila segelintir daripada peminta sedekah ini suka meminta-minta.
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata hukum meminta-minta atau mengemis adalah tidak disyariatkan dalam Islam, apatah lagi jika ia dilakukan dengan cara menipu.
Bagaimanapun katanya, keadaan tersebut berlaku ekoran segelintir masyarakat bersifat tidak cakna dalam membantu golongan fakir-miskin.
“Dari segi syarak, kita disuruh membantu fakir-miskin sekalipun mereka tidak minta. Tetapi oleh kerana sikap kedekut dan tidak membantu, jika tidak diminta mereka tak bagi, maka kerana itu wujud orang yang meminta-minta,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Harussani menambah meskipun hukum mengemis pada dasarnya dilarang dalam Islam, akan tetapi masyarakat tidak boleh menyamaratakan semua peminta sedekah.
Katanya, sikap buruk sangka terhadap golongan peminta sedekah perlu dielakkan sebaliknya pemberi disarankan supaya sentiasa ikhlas.
Namun, itu bukan 'lesen' untuk masyarakat menggalakkan lagi aktiviti minta sedekah.
“Tak boleh (perasaan ragu-ragu) kerana itu sudah jadi tak ikhlas. Apabila memberi, mesti ada keikhlasan.
“Nabi Muhammad S.A.W. ada bersabda, kalau yang datang itu orang kaya (minta sedekah), kita kena bagi dan kalau kita bagi masih ada keraguan dalam hati, kita tak akan dapat pahala,” jelasnya.
Harussani turut menyelar sikap individu yang mengeksploitasi kanak-kanak demi kepentingan peribadi, dan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai haram.
Terdahulu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengeluarkan amaran kepada sindiket atau individu yang menggunakan kanak-kanak untuk tujuan mengemis.
Timbalan Menteri Hannah Yeoh menegaskan, kanak-kanak di bawah 18 tahun tidak dibenarkan digunakan oleh sesiapa, termasuk penjaga mereka, untuk mengemis atau menjual barangan.
Bagaimanapun, artikel ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan maruah atau mengkritik golongan peminta sedekah.
Sebaliknya, bagaimana isu ini perlu difahami dan ditangani dengan cara berhemah oleh semua pihak.
#haram
#Islam
#Kanak-kanak
#Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat
#pengemis kanak-kanak
#sedekah
#sindiket
#Tan Sri Harussani Zakaria