Kurang 15 orang berdiri, majoriti Ahli Parlimen luluskan Bajet 2022 di peringkat dasar
Harits Asyraf Hasnan
November 18, 2021 17:52 MYT
November 18, 2021 17:52 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Bajet 2022 yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu diluluskan selepas kurang daripada 15 orang berdiri.
Antara Ahli Parlimen yang memohon untuk proses undian belah bahagian adalah Ahli-ahli Parlimen Parti Warisan antaranya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna), Datuk Darell Leiking (Penampang), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud).
Turut berdiri mohon undi belah bahagian adalah Ahli-ahli Parlimen dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) turut berdiri memohon undi belah bahagian.
Namun, selepas Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin membuat kiraan, tidak sampai 15 orang berdiri seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Mesyuarat 46 Dewan Rakyat.
Blok Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk hanya mengundi menerusi undi suara menerusi RUU Perbekalan 2022 di peringkat dasar ini.
Keputusan itu diumumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, sekitar jam 5.25 petang.
Bajet 2022 dibentang Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lalu dan dibahas 131 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selama tujuh hari, bermula 1 November lalu.
Menteri-menteri mula menggulung pada 15 November lalu sebelum Tengku Zafrul menggulung bagi pihak Kementerian Kewangan hari ini selama lebih satu jam diikuti dengan pengundian untuk meluluskan Belanjawan itu.
Kelulusan RUU berkenaan akan membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.
Bajet 2022 menyediakan peruntukan tertinggi dalam sejarah dengan jumlah RM332.1 bilion bagi menyedia dan merancang pelbagai strategi serta inisiatif bagi mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan.