Kurang 10 peratus syarikat culas bayar SST, negara rugi hampir RM150 juta - Kastam

Bernama
Januari 30, 2023 13:48 MYT
Sazali ketika sidang media sempena Program 'Handholding SST Ikrar Betul Bayar Betul' di Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Lebih 90 peratus syarikat membayar Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) manakala kurang 10 peratus syarikat didapati culas membayarnya pada tahun lepas, sehingga menyebabkan negara terpaksa menanggung kerugian hampir RM150 juta.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi bahagian pematuhan dan audit yang dilakukan secara berkala mendapati ada syarikat yang tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan.
Bercakap pada sidang media sempena Program 'Handholding SST Ikrar Betul Bayar Betul' di sini hari ini, Sazali berkata antara tindakan yang boleh dikenakan kepada pihak yang culas membayar cukai termasuklah sekatan ke luar negara bagi ahli lembaga pengarah syarikat yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen.
"Jika ada cukai tertunggak, mereka akan dikenakan penalti yang lebih tinggi daripada amaun cukai yang perlu dibayar atau tindakan mahkamah, jika perlu," katanya meskipun hanya kurang 10 peratus syarikat yang tidak membayar cukai, ia tetap memberi implikasi kewangan kepada negara.
Sazali berkata prestasi kutipan cukai bagi 2022 adalah sebanyak RM53.54 bilion, meningkat 25.97 peratus atau RM11.03 bilion berbanding kutipan pada 2021.
"Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen cukai seperti cukai jualan, cukai perkhidmatan, duti eksais, duti import dan levi. Peningkatan hasil ini juga mencerminkan keupayaan dan kepimpinan JKDM dalam mengurus dan mentadbir jabatan pada tahap cemerlang," katanya.
Bagi 2023, JKDM menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM52 bilion, katanya.
Mengenai Program 'Handholding SST Ikrar Betul Bayar Betul' yang diadakan hari ini dan esok (31 Jan) di Menara A, Suasana PjH di sini, beliau berkata ia dianjurkan untuk memberi kefahaman berkaitan perundangan SST dan tanggungjawab mengikrar serta membayar cukai dengan betul.
Progam tersebut disasarkan kepada pendaftar SST dan pelaksanaannya akan diperluas di semua negeri secara berjadual sepanjang Februari, katanya.
-- BERNAMA
#Sazali Mohamad #kastam #kutipan cukai #SST
;