Kuota RGL, PCA rentas sempadan Malaysia-Singapura 17-19 Ogos penuh

Bernama
Ogos 13, 2020 07:54 MYT
JIM sudah menerima 180 permohonan RGL dan 6,000 permohonan bagi PCA, bagi keseluruhan tiga hari berkenaan, mulai Isnin lepas (10 Ogos). - BERNAMA
Kuota permohonan rentas sempadan Malaysia dan Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) mulai 17 Ogos ini didapati sudah penuh untuk tempoh tiga hari.
Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah menerima 180 permohonan RGL dan 6,000 permohonan bagi PCA, bagi keseluruhan tiga hari berkenaan, mulai Isnin lepas (10 Ogos).
"Sehingga petang ini, saya melihat kuota pada tarikh 17, 18 dan 19 hari bulan ini telah penuh. Untuk RGL adalah 400 orang bagi tempoh seminggu, iaitu maknanya sehari antara 50 hingga 60 orang manakala PCA pula adalah 2,000 orang sehari.
"Keputusan permohonan merentas sempadan hanya diketahui sehari sebelum mereka memulakan perjalanan yang akan dimaklumkan menerusi e-mel," katanya.
BACA: Malaysia, Singapura sediakan butiran RGL dan PCA
BACA: Nasib pekerja Malaysia ulang-alik ke Singapura bergantung pada pematuhan SOP
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat berhubung pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar, di sini pada Khamis.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.
Menurutnya, bagi memastikan kelancaran, jabatan terbabit bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor menempatkan anggota yang cukup di laluan bas, pejalan kaki, kereta serta motosikal.
BACA: Laluan Hijau Timbal Balik: AirAsia sedia sambung semula penerbangan Malaysia-Singapura
BACA: RGL, PCA dijangka mampu kurangkan kesulitan rakyat Malaysia bekerja di Singapura
Sementara itu, Dr Aman berkata pihaknya turut bersedia dengan pembukaan sempadan termasuk melakukan saringan dan ujian COVID-19.
Pada 26 Julai lepas, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatan dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan bertemu di atas Tambak Johor.
Ia sebagai simbolik menandakan persetujuan pembukaan sempadan kedua-dua negara yang dijangka bermula seawal 17 Ogos, selepas kedua-dua negara menutup sempadan masing-masing bagi mengekang penularan COVID-19, bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Malaysia pada 18 Mac lepas.
RGL akan membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara manakala PCA akan membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara memasuki negara itu.
-- BERNAMA
#bas #Imigresen #kastam #kereta #kesihatan #koronavirus #kuota #Malaysia #pas jangka panjang #PCA #pembukaan semula sempadan #perintah kawalan pergerakan #perjalanan #PKP #polis #rentas sempadan #RGL #sempadan #Singapura #Sultan Ibrahim #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;