Kuota minyak masak bersubsidi kekal 60,000 tan sebulan - KPDN
Bernama
April 17, 2023 20:44 MYT
April 17, 2023 20:44 MYT
PUTRAJAYA: Kuota 60,000 tan metrik minyak masak subsidi adalah kekal setakat ini, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini dan turut menegaskan kementerian itu tiada cadangan untuk mengurangkan kuota sedia ada kepada 40,000 tan metrik sebulan.
"Ini adalah kerana jumlah kuota 60,000 tan metrik itu, yang bersamaan 60 juta pek minyak masak bersubsidi satu kilogram, adalah mencukupi jika digunakan oleh isi rumah sahaja," menurut KPDN dalam kenyataan menjelaskan laporan kuota minyak masak subsidi yang mungkin akan dikurangkan kepada 40,000 tan metrik sebulan.
Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof dilaporkan semalam sebagai berkata tidak menolak kemungkinan kuota minyak masak bersubsidi dikurangkan kepada 40,000 tan metrik sebulan dengan melakukan rasionalisasi kerana ada pihak berpendapat 60,000 tan metrik itu banyak.
Kuota 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi kekal sejak 2016 selepas KPDN mengambil alih pembekalan barangan keperluan harian itu daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Walaupun sering berlaku kekurangan minyak masak bersubsidi di kawasan tertentu, kementerian itu mendapati situasi tersebut dipengaruhi pelbagai faktor lain, antaranya pembelian oleh golongan bukan isi rumah, pembukaan sektor perniagaan yang menggunakan minyak masak dalam operasi, syarikat pembungkus tidak beroperasi pada tahap maksimum dan masalah pengedaran.
-- BERNAMA