Kuota matrikulasi: UUM berdiri teguh di belakang Maszlee
Rahimah Abdullah
Mei 18, 2019 20:51 MYT
Mei 18, 2019 20:51 MYT
Universiti Utara Malaysia (UUM) menyokong keputusan kerajaan mengekalkan kuota kemasukan 90 peratus pelajar Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera bagi program matrikulasi universiti awam dengan menambah bilangan kemasukan pelajar kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini.
Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, keputusan jemaah menteri itu amat adil kerana ia selari dengan matlamat asal program matrikulasi semasa ia diperkenalkan.
Objektif asalnya, katanya, ialah untuk membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan pra-universiti yang berkualiti bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.
"Perlu diingat bahawa program matrikulasi ini diperkenalkan khusus untuk pelajar Bumiputera ekoran masalah ketidakseimbangan kaum di universiti sehinggalah Jemaah Menteri di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad meluluskan pada Jun 2002 untuk memperuntukkan 10 peratus kuota bagi pelajar bukan Bumiputera mulai sesi kemasukan 2003.
"Oleh itu, keputusan Jemaah Menteri pada 24 April 2019 menambah bilangan kemasukan pelajar adalah konsesi kedua setelah 16 tahun yang diberikan oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah pelajar bukan Bumiputera yang berkelayakan tetapi tidak mendapat tempat pengajian selaras dengan misi dan visi Malaysia Baharu yang lebih inklusif kini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, Ahmad Bashawir menyifatkan tindakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy yang mempertikai kewibawaan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengenai perkara ini, sedangkan keputusan itu turut didokong oleh pemimpin parti, sebagai sangat tidak bijak dan melanggar prinsip.
"Setelah keputusan dibuat oleh Jemaah Menteri, adalah menjadi tanggungjawab Menteri untuk memberi penjelasan kepada rakyat jelata mengenainya, dan penjelasan Maszlee di Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengaitkan pengekalan kuota itu dengan pemberian peluang pekerjaan kepada Bumiputera adalah satu penjelasan yang wajar dan berfakta.
"Menuduh Maszlee sebagai masih terperangkap dengan pemikiran mengikut garis perkauman semata-mata kerana beliau mempertahankan keputusan Jemaah Menteri adalah satu tindakan yang tidak cermat kerana Maszlee dan Jemaah Menteri membuat keputusan berdasarkan kepentingan semua kaum, mengikut peruntukan undang-undang," tambahnya lagi.
Justeru, kata Ahmad Bashawir, UUM berdiri teguh di belakang Maszlee dalam isu pengekalan kuota kemasukan pelajar bagi program matrikulasi universiti awam ini dan yakin beliau mampu memikul tanggungjawab membuat reformasi yang menyeluruh ke atas sistem pendidikan negara.
#ahmad bashawir abdul ghani
#Bumiputera
#kerajaan
#kuota
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Maszlee Malik
#matrikulasi
#menteri
#P Ramasamy
#pelajar
#pendidikan
#pra-universiti
#rakyat
#Sains
#undang-undang
#UUM