Kunjungan TPM Singapura Lawrence Wong satu pendekatan positif - Anwar
Raja Hisyam Raja Zaid
September 5, 2022 14:51 MYT
September 5, 2022 14:51 MYT
KUALA LUMPUR: Kunjungan Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong, terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen hari ini dianggap sebagai satu pendekatan yang sangat positif.
Jelas Anwar, inisiatif Lawrence untuk datang ke Malaysia untuk mengenali tokoh-tokoh di negara ini dari kalangan ahli politik dan golongan korporat menjadikan hubungan yang sedia terjalin selama ini akan lebih baik dan akrab.
"Saya tentunya berbincang isu pelaburan di Singapura, kerjasama perdagangan, dalam bidang pendidikan dan budaya selain isu-isu yang dekat umpamanya tentang cara Singapura mengendali masyarakat pelbagai kaum dan agama.
"Jadi, satu perbincangan yang agak panjang juga dan Insyallah bermanfaat bagi negara kita walaupun fokus kita adalah ekonomi dan perdagangan," katanya ketika ditemui media di sini sebentar tadi.
Lawrence Wong yang sebelum ini juga telah diumumkan akan menjawat jawatan Perdana Menteri Singapura tiba di negara ini semalam bagi lawatan kerja ke Malaysia selama empat hari hingga Rabu.
Ia merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri republik itu pada Jun lalu.
Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan yang terbesar dalam ASEAN dengan jumlah dagangan RM267.11 bilion pada 2021, iaitu meningkat sebanyak 25.2 peratus berbanding nilai direkodkan pada 2020.