Kunjungan PM Najib, TPM Zahid ke Pulau Pinang sikap pemimpin prihatin

Bernama
November 7, 2017 07:14 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor meredah air melawat kawasan yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Tanjung Putus di Permatang Pauh pada Selasa. --fotoBERNAMA
Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turun padang ke Pulau Pinang melawat mangsa banjir menunjukkan sikap sebenar pemimpin yang prihatin.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata dalam politik tidak boleh 'bergaduh' habis-habisan kerana ada masanya mereka yang berlainan fahaman politik ini akan memerlukan pertolongan.
"Keprihatinan perdana menteri dan timbalan perdana menteri jelas menunjukkan sifat seorang pemimpin yang mementingkan rakyat yang dalam kesusahan.
"Bagi saya, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menelefon timbalan perdana menteri untuk meminta bantuan pada pukul 3.30 pagi dan dijawab pula (oleh Ahmad Zahid) menunjukkan sikap pemimpin yang prihatin.
"Jika dilihat dalam keadaan itu yang mana pemimpin sama pemimpin boleh mengetepikan perbezaan fahaman politik demi kesejahteraan rakyat, kenapa penyokong di bawah perlu bermasam muka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jualan Akhir Tahun di sebuah pasar raya di Kok Lanas di sini, pada Selasa.
Hujan lebat dan angin kencang yang berlarutan selama beberapa jam pada Sabtu lepas menyebabkan hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang ditenggelami air dan ada kawasan dinaiki air sehingga satu meter menyebabkan lebih 6,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.
Bencana banjir di negeri itu sehingga kini telah mengorbankan tujuh nyawa.
-- BERNAMA
#banjir kilat #gaduh #Lim Guan Eng #mangsa #Md Alwi Che Ahmad #Najib Razak #politik #pulau pinang #Zahid Hamidi
;