Kunjungan Mohamad Hasan ke Indonesia pertingkat kerjasama pertahanan
Bernama
Februari 21, 2023 20:39 MYT
Februari 21, 2023 20:39 MYT
JAKARTA: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan menemui rakan sejawatnya dari Indonesia Prabowo Subianto di kompleks bangunan Kementerian Pertahanan di sini pada Selasa.
Kedua-dua menteri membincangkan kerjasama dua hala dalam pelbagai aspek yang dianggap sebagai 'produktif' oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.
"Perbincangan kedua-dua sangat produktif dalam meningkatkan kerjasama pertahanan melalui pelbagai platform dua hala dan pelbagai hala.
"Hubungan pertahanan antara Malaysia dan Indonesia telah menyaksikan kemajuan cemerlang menerusi Jawatankuasa Am Sempadan yang ditubuhkan pada 1972, terutama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI)," menurut kenyataan itu.
Hubungan dua hala pula meliputi kerjasama sempadan, industri pertahanan dan aktiviti ketenteraan terutama eksesais serta latihan dan pertukaran anggota.
Selain itu, hubungan turut diperkukuh melalui inisiatif subrantau menerusi Rondaan Selat Melaka (MSP) dan Peraturan Kerjasama Tiga Pihak (TCA).
Dalam pertemuan itu, kedua-dua menteri mengulangi komitmen bersama masing-masing untuk mengukuhkan kerjasama secara konstruktif dan progresif sejurus pemeteraian Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pertahanan antara kedua-dua negara pada 9 Ogos tahun lepas.
"Kedua-dua menteri yakin bahawa kerjasama padu antara kedua-dua negara akan memastikan pelaksanaan berkesan semua aktiviti akan datang," menurut kementerian itu.
Mohamad turut menyampaikan jemputan kepada Prabowo untuk melawat Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang akan diadakan dari 23 hingga 27 Mei tahun ini.
Terdahulu, Mohamad yang tiba pada 1 tengah hari waktu tempatan untuk lawatan kerja sehari disambut oleh Prabowo dan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Mohamad, yang lebih dikenali sebagai 'Tok Mat' turut memeriksa Kawalan Kehormat sambil diiringi oleh Prabowo.
Beliau kemudian mengadakan pertemuan tertutup dengan Prabowo, yang juga merupakan pertemuan pertama mereka sejak pelantikan Mohamad sebagai menteri pertahanan pada Disember lalu di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir, Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Jakarta, Adlan Mohd Shaffieq dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, pegawai kanan kementerian dan wakil ATM.
Kementerian itu menegaskan bahawa kedua-dua negara berkongsi hubungan dua hala yang rapat dan lawatan Mohamad ke Indonesia adalah langkah penting untuk mengukuhkan lagi ikatan diplomasi dan persahabatan sedia ada.
"Diplomasi pertahanan khususnya di rantau ini adalah selaras dengan Tonggak Perkongsian Berwibawa dalam strategi pertahanan negara, seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
"Ia bagi memperkukuh dan meluaskan kerjasama pertahanan bagi memastikan Malaysia terus menyumbang kepada pembangunan dan kestabilan serantau," menurut kementerian itu.
-- BERNAMA