Kunjungan juruhebah, kru stesen radio Era bantu promosi bandar raya Ipoh - Datuk Bandar

Aida Aziz
Ogos 13, 2022 12:33 MYT
Kunjungan skuad radio Era juga secara tidak langsung dapat mempromosikan beberapa produk pelancongan utama di Ipoh. - Astro AWANI
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa mencari jalan untuk menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam mempromosi bandar raya ini secara meluas.
Kunjungan juruhebah dan kru stesen radio Era ke Ipoh pada Jumaat malam sedikit sebanyak membuka tirai dalam memperluas jaringan strategik bersama station radio popular itu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, jika ada ruang untuk berkolaborasi dengan station radio itu, antara fokus utama ialah untuk tujuan promosi dan latihan secara menyeluruh.
"Contoh begini, selain daripada kita dengar radio. Kita juga harap radio Era untuk melatih pasukan yang MBI gerakkan termasuk di belakang tabir.
"Kalau Ipoh mahu jadi bandar budaya atau seni seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, bukan artis sahaja malah semua industri perlu dibangunkan.
"Kalau ada ruang kita boleh bekerjasama dengan Astro sebagai rakan strategik untuk memajukan bandar raya ini. Bukan hanya Astro malah lain-lain pihak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Serahan Tong Sampah 120 Liter Secara Percuma di Taman Perpaduan Koperasi, di sini pada Sabtu.
Semalam skuad radio Era berkunjung ke salah sebuah taman tema air di bandar raya ini, di samping meneruskan TouERA selama sehari, pada Sabtu.
Menerusi TouERA, para penyampai radio Era akan menemui orang ramai di Pasar raya Mydin, Meru Raya.
Penyampai radio Era yang hadir ialah Radin, Nabil, Haniff, Ray, Muna Bella, Zahier dan Isha Norsham.
Kunjungan skuad radio Era juga secara tidak langsung dapat mempromosikan beberapa produk pelancongan utama di Ipoh.
#Majlis Bandaraya Ipoh #Rumaizi Baharin #pelancongan
;