Kumpulan pertama vaksin tiba di Sarawak pukul 6 petang ini
Fadilah Sulaiman
Februari 24, 2021 13:18 MYT
Februari 24, 2021 13:18 MYT
KUCHING: Bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNtech dijangka tiba di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar pukul 6 petang hari ini.
Ini merupakan bekalan vaksin COVID-19 fasa pertama yang menyasarkan petugas barisan hadapan.
Ketibaan bekalan pertama vaksin yang dianggarkan sekitar 5,000 dos akan diterima oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Ahli JPBN Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing.
Vaksin tersebut akan ditempatkan di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di Kuching sebelum diagihkan ke enam PSV lain di seluruh negeri iaitu Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Sri Aman, Sarikei, Limbang.
Untuk rekod, program imunisasi di Sarawak fasa pertama akan bermula pada 27 Februari melibatkan lebih 97,000 petugas barisan hadapan yang sudah berdaftar.
Menurut Dr Chin, vaksin akan dihantar ke Sibu esok sebelum pelancaran program imunisasi yang berlangsung serentak di Stadium Perpaduan, Kuching dan Sibu.
#vaksin COVID-19
#Vaksin Sarawak
#Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching
#Douglas Uggah Embas
#sim kui hian
#Dr Chin Zin Hing
#Kuching
#Sibu
#Sarawak