Kumpulan pertama vaksin COVID-19 selamat tiba di Sarawak
Astro Awani
Februari 24, 2021 19:25 MYT
Februari 24, 2021 19:25 MYT
KUCHING: Kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNtech untuk Sarawak selamat tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), petang Rabu.
Pesawat TH543 milik Raya Airways yang membawa 23,400 dos vaksin COVID-19 itu mendarat pada 6.20 petang.
Penerbangan Passenger-To-Cargo (P2C) itu menggunakan pesawat Boeing B767-223 bagi membawa vaksin COVID-19 tersebut.
Sebaik sahaja mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan pusat kargo KIA.
Antara yang hadir menyaksikan detik bersejarah tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Prof Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hing.
AWANI Sarawak difahamkan, vaksin berkenaan akan dihantar ke Sibu esok sebelum pelancaran program imunisasi yang berlangsung serentak di Stadium Perpaduan, Kuching dan Sibu.
#vaksin Pfizer-BioNTech
#Kumpulan pertama vaksin
#Sarawak
#Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching KIA
#Raya Airways
#Uggah
#MyVaksinCOVID19