Kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech tiba jam 10 pagi esok
Astro Awani
Februari 20, 2021 19:32 MYT
Februari 20, 2021 19:32 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604 pada jam 10.00 pagi esok (Ahad) dan akan dikendalikan oleh MABkargo Sdn Bhd (MASKargo).
Perjalanan vaksin ini dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global.
Vaksin ini berlepas dari Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.
Kesemua 312,390 dos vaksin ini diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 330-300.
Setibanya di Malaysia, pengedaran vaksin dikendalikan oleh DHL Express, yang juga merupakan ejen yang telah dilantik untuk pengedaran vaksin Pfizer-BioNTech di peringkat global.
Kenamaan yang akan hadir untuk menyambut vaksin di KLIA termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong; dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Saksikan laporan penuh ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech secara langsung bermula jam 10 pagi Ahad di saluran 501 Astro AWANI, dan semua platform digital Astro AWANI.
#vaksin
#vaksin COVID-19
#Pfizer-BioNTech
#Kumpulan pertama
#KLIA
#MABKargo
#Belgium
#Dr Adham Baba
#Khairy Jamaluddin
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Astro Awani
#MASkargo